Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Badrul cabar keputusan Speaker di mahkamah
Diterbitkan:  Jan 24, 2011 3:34 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih merupakan wakil rakyat kerusi berkenaan.

Permohonan itu, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, antara lain adalah untuk membuktikan bahawa pengisytiharan Speakar DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kerusinya kosong, adalah batal dan tidak sah.

Minggu lalu, Teng mengumumkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong selepas Badrul Hisham gagal menghadiri sidang DUN, tanpa cuti, sejak 15 Julai tahun lalu.

Notis kekosongan tersebut telah dihantar ke SPR Jumaat lalu untuk memaklumkan mengenainya dan suruhanjaya itu mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya kecil dari tarikh notis tersebut dikeluarkan.

Badrul Hisham diwakili oleh adalah peguam Umno, Hafarizam Harun daripda Tetuan rizam Wan & Aisha Mubarak

Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika memfailkannya pada 3.30 petang, Badrul Hisham, 50, menamakan Teng Chang sebagai defendan pertama dan SPR sebagai defendan kedua.

Perintah-perintah deklarasi yang lain yang dipohon oleh plaintif termasuk pengisytiharan bahawa keputusan defendan pertama yang mengisytiharkan kerusi tersebut telah kosong adalah ultra vires Artikel LXIX Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan adalah batal dan tidak sah.

    

Beliau memohon ganti rugi teladan dan punif dan kos permohonan beliau ditanggung oleh defendan pertama.

Dalam alasan permohonannya, Badrul Hisham menyatakan bahawa beliau telah hadir persidangan Dewan Undangan Negeri pada 12 dan 15 Julai 2010 dan hanya tidak hadir penggal ketiga persidangan antara 8 dan 16 November kerana mendapatkan rawatan perubatan tradisional akibat masalah kesihatan.

Beliau menjelaskan tiada persidangan antara 15 Julai hingga 8 November dan defendan pertama seharusnya mengambil kira tempoh ketidakhadiran enam bulan perlulah bermula 8 Nov seperti yang dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri dan bukan sebaliknya.

Badrul Hisham  menegaskan hanya defendan kedua sahaja mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan sama ada terdapat kekosongan kerusi di bawah Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958.

Plaintif juga mendakwa Speaker juga telah dimaklumkan melalui surat mengenai ketidakhadiran beliau antara 8 dan 16 November, lapor agensi berita nasional itu.

Namun, beliau (Badrul Hisham) mendakwa Speaker enggan menerima alasannya dan memutuskan bahawa ketidakhadiran plaintif adalah tanpa kebenaran.

Badrul Hisham berkata Teng sebagai Speaker tidak mempunyai dasar atau alasan untuk membuat keputusan sebegitu dan telah menyalahgunakan kuasa dan bertindak secara mala fide, tidak munasabah, tidak adil dan mempunyai niat politik yang berkepentingan sendiri.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Badrul Hisham memberitahu pemberita bahawa pengurusan kes berkenaan telah ditetapkan pada 17 Februari dan pihak-pihak terlibat perlu mengemukakan afidavit masing-masing sebelum tarikh berkenaan.

ADS