Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hospital Sultanah Bahiyah sedia farmasi pandu lalu
Diterbitkan:  Jan 30, 2011 12:28 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Hospital Sutanah Bahiyah (HSB) menjadi hospital ketiga di Kedah menyediakan perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu (FPL) selepas Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan Hospital Kulim (HK).

Selaras dengan slogan 'Kami Sedia Membantu', pesakit tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan ubat ulangan kerana mereka hanya perlu memandu kereta atau motosikal ke kaunter FPL di hospital berkenaan.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Marzuki Mad Isa berkata sepanjang tahun lepas kira-kira 370,000 pesakit berkunjung ke farmasi hospital berkenaan dengan 30 peratus daripadanya adalah kes ulangan.

"Jadi dengan adanya perkhidmatan ini (FPL) diharap ia dapat meredakan kesesakan pesakit dan mengurangkan masa menunggu pesakit mengambil ubat di farmasi utama.

"Pelaksanaan perkhidmatan FPL ini juga dapat menjimatkan masa dan memudahkan pesakit kerana tidak perlu mencari tempat letak kenderaan serta mengurangkan kesesakan di farmasi utama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan FPL di HSB di Alor Setar hari ini.

Dr Marzuki berkata pesakit hanya perlu menggunakan perkhidmatan temu janji sedia ada melalui telefon, khidmat pesanan ringkas (sms) atau e-mel sehari sebelum mengambil ubat.

"Nombor temu janji akan dimaklumkan kepada pesakit dan pesakit boleh memandu kenderaan masing-masing tanpa perlu menunggu lama," katanya.

FPL HSB beroperasi pada hari Ahad hingga Rabu mulai 10 pagi hingga 4.30 petang dengan 1 tengah hari hingga 2 petang adalah waktu rehat manakala hari Khamis ia beroperasi mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Kos pembinaan bagi FPL HSB adalah sebanyak RM90,000, manakala FPL HSAH dan HK masing-masing bernilai RM60,000 dan telah dilancarkan pada 24 Jan lepas.

Pada majlis itu, Dr Marzuki turut melancarkan penghantaran ubat melalui perkhidmatan pos laju kepada pesakit yang tidak boleh datang ke hospital untuk mangambil ubat ulangan.

Sementara itu, Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata jika perkhidmatan FPL berjaya dan mendapat sambutan ramai, kemungkinan hari dan waktu operasi FPL akan dilanjutkan.

--Bernama

ADS