Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan didakwa manipulasi lagi ucapan Nik Aziz
Diterbitkan:  Feb 20, 2011 10:42 AM
Dikemaskini: Feb 21, 2011 2:33 AM

Pejabat Menteri Besar Kelantan mendakwa bahawa Mingguan Malaysia memanipulasikan sebahagian kenyataan Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan mendakwa beliau "akhirnya mengubah nada mengakui bahawa perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan".

Setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan laporan bertajuk 'Nik Aziz ubah nada' sebagai satu bentuk fitnah secara sistematik dengan memanipulasikan sebahagian kenyataan mursyidul am PAS itu, "demi mencapai tujuan politik murahan seperti biasa yang dimainkan oleh akhbar lidah Umno itu".

Katanya, akhbar tersebut sekali lagi menggadai prinsip dan etika kewartawanan yang bersifat profesional dan terus merendahkan martabat menjadi ejen fitnah dan propaganda murahan.

Mingguan Malaysia - edisi mingguan Utusan - melaporkan Nik Aziz terpaksa mengakui bahawa perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai bangsa pribumi di negara ini.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa perubahan pendirian itu dipercayai ekoran kebimbangan PAS terhadap penurunan sokongan masyarakat Melayu yang kian ketara dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

pas convention shah alam 190211 nik abdul aziz nik mat at podium Ahmad Fadhli menjelaskan bahawa laporan tersebut merujuk kepada

ucapan Nik Aziz ketika merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa - Jimanan PAS, yang bertempat di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Sebenarnya, tegas beliau, mursyidul am PAS itu merujuk kepada tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah yang perlu diutamakan kepada orang Melayu yang sudah menerima Islam terlebih dahulu sebelum bangsa-bangsa lain.

Menurut Ahmad Fadhli, petikan teks ucapan Nik Aziz yang menyebut tentang perkara tersebut adalah seperti berikut: “Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini".

"Permainan akhbar Mingguan Malaysia boleh dilihat apabila hanya melaporkan kata-kata beliau seperti berikut: "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.”

Oleh yang demikian, tegas Ahmad Fadhli, tidak timbul soal Nik Aziz mengubah nada kerana apa yang diucapkan oleh beliau ialah dalam konteks dakwah bukan dalam konteks hak istimewa pribumi.

Menurutnya, menteri besar Kelantan itu sentiasa mendukung perlembagaan Malaysia yang telah menjamin hak-hak istimewa orang Melayu, namun tidak menjadikan isu itu sebagai alat untuk menarik sokongan orang Melayu seperti Umno yang menurutnya mempergunakannya untuk kepentingan politik.

Justeru, Ahmad Fadhli berharap akhbar tersebut tidak mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan sebarang laporan selepas ini dan berharap kerjasama dan hubungan baik akhbar tersebut dengan pejabat menteri besar Kelantan boleh diteruskan tanpa sebarang masalah.