Malaysiakini BERITA

Ibrahim: 'Mendung sudah berlalu bagi BN...'

Hazlan Zakaria  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bukan sahaja BN kini dalam kedudukan yang lebih kuat, tetapi ia juga mampu menyerang balas dan merampas semula kerusi yang terlepas ke tangan Pakatan Rakyat sewaktu tsunami politik Mac 2008.

NONE Ini adalah penilaian ahli parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengenai keadaan politik semasa, dan ia diperkuatkan lagi dengan kemenangan berganda BN dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau and Kerdau semalam.

Mendung telah berlalu, begitulah katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, dengan merujuk kepada rangkaian kemenangan BN dalam pilihan raya kecil sehingga kini.

Beliau percaya, satu sebabnya ialah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah kehilangan penampilannya di kalangan pengundi.

"Ia bukan lagi persoalan sama ada Anwar akan (menawan) Putrajaya atau tidak. Persoalannya ialah sama ada BN akan memperolehi semula majoriti dua pertiganya dan kerusi-kerusi yang dimenangi Pakatan, malahan mungkin merampas semula negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang" katanya.

Ibrahim berkata keadaan semakin bagus bagi BN, terutama jika ia boleh mengelak isu-isu yang boleh membakar hati rakyat seperti saman ekor dan kenaikan harga barangan keperluan “walaupun ia satu fenomena global”.

“Saya percaya jika BN boleh menangani isu-isu ini dengan baik, ia boleh mendapatkan semula sokongan," katanya, sambil berkata, ia adalah penilaiannya dari kaca mata ahli parlimen Bebas.

Ibrahim antara antara mereka yang dibawa oleh BN untuk berkempen bagi gabungan itu semasa pilihan raya kecil Merlimau and Kerdau, yang menyaksikan kekalahan dua calon PAS yang bertanding di kedua-dua DUN tersebut.