Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Jepun terus guna helikopter gugurkan air

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Helikopter tentera terus dikerah untuk menggugurkan air di kawasan loji nuklear Fukushima bagi  merendahkan suhu reaktor yang terbakar dan dikhuatiri akan menyebabkan kebocoran radiasi.

NONE Imej televisyen stesen NHK menunjukkan tiga helekopter CH-47 Chinooks milik Pasukan Pertahanan Awam berlegar-legar di udara untuk menjatuhkan air ke reaktor ketiga dan keempat yang sebelum ini meletup dan terbakar.

Perkembangan itu menyaksikan semakin ramai negara asing yang menasihatkan rakyat mereka supaya meninggalkan Jepun, yang sedang bertungkus-lumus mengelakkan krisis nuklear setelah dibadai tsunami dan musnah akibat gempa bumi.

Menurut ketua suruhanjaya kawal selia nuklear Amerika Syarikat, keadaan satu daripada reaktor yang terjejas - cukup merisaukan kerana tiada bekalan air untuk mengurangkan suhu rod bahan api daripada terus panas dan kemudian cair kelak.

'Tidak terkawal lagi'

Semalam, pekerja-pekerja menjauhi loji Fukushima Daiichi buat sementara kerana bimbang peningkatan radiasi tetapi kembali selepas keadaan dilaporkan selamat.

azlan Laporan MSNBC pula memetik ketua tenaga Kesatuan Eropah Guenther Oettinger memberitahu pParlimen Eropah bahawa loji itu “secara efektif sudah tidak terkawal lagi” selepas kerosakan pada kemudahan sistem pendinginan.

“Dalam beberapa jam akan datang, akan ada malapetaka lebih buruk lagi, yang akan mendedahkan orang ramai kepada bahaya.

“Belum kelihatan panik lagi, tetapi Tokyo dengan penduduk seramai 35 juta orang, adalah metropolis paling besar di dunia,” katanya.

Namun ketua pemantau nuklear PBB mempunyai pandangan yang berbeza.

13,000 mati dan hilang

“Bukan masa untuk mengatakan keadaan sudah tidak terkawal,” kata Yukiya Amano, ketua pengarah agensi tenaga nuklear antarabangsa pada sidang media semalam.

NONE “Operator-operator sedang melakukan yang terbaik untuk memulihkan keselamatan reaktor,” katanya.

Menurutnya, keadaan “sangat serius” dan meminta kerajaan Jepun menyediakan maklumat lebih lengkap kepada agensi itu.

Sementara itu, bilangan rasmi mereka yang terkorban dan hilang selepas gempa bumi dan tsunami yang menghancurkan kawsan pantai timur laut Jepun menghampiri 13,000 orang dan diramalkan akan terus meningkat.

Jumlah mereka yang disahkan terkorban sejak bencana Jumaat lalu seramai 4,314 orang manakalan bilangan mereka yang hilang setakat ini ialah 8,606 orang.

Sejumlah 2,282 orang dilaporkan cedera akibat bencana tersebut.

Datuk bandar Ishinomaki, Miyagi mengatakan jumlah mereka yang hilang di bandar itu sahaja hampir 10,000 orang.

- Agensi