Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM5.7 bilion bawah NKRA untuk Sarawak
Diterbitkan:  Mar 23, 2011 11:25 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata Sarawak diperuntukkan kira-kira RM5.7 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan menyediakan kemudahan bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat di negeri itu di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Beliau berkata pada akhir tahun depan, 700 kilometer jalan akan disiapkan; kira-kira 12,000 penduduk akan menerima manfaat daripada skim bekalan elektrik luar bandar (RES) dan kira-kira 4,000 lagi daripada bekalan air rawatan.

Ini membabitkan 2,866 isi rumah dan 5,238 miskin tegar.

“Pada akhir 2012, RES akan meningkatkan dari kini 66 peratus kepada 95 peratus dan air rawatan dari 57 peratus kepada 90 peratus,” katanya memberitahu media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah telah menyatakan bahawa kemajuan menggalakkan dalam pembinaan jalan dan bekalan elektik ke kawasan luar bandar di bawah NKRA untuk infrastruktur luar bandar di seluruh negara.

Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kementerian berkenaan telah membina 207.7 kilometer jalan sehingga 31 Jan tahun ini, dengan 44.5km di Sabah, 37.37km di Sarawak dan 125.86km di Semenanjung.

Ia berhasrat untuk menyiapkan pembinaan 697.4km lagi jalan untuk mencapai sasaran 905.12km untuk tahun ini.

Mengenai bekalan elektrik, beliau berkata kementerian itu dalam proses menyalurkan bekalan tersebut ke kawasan perumahan di Sabah dan Sarawak, yang dijangka siap tahun ini, sasaran kira-kira 27,000 rumah di seluruh negara.

Semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Serian pada Sabtu lepas, beliau juga mengumumkan peruntukan RM252.35 juta untuk bekalan air dan elektrik yang akan memanfaatkan beribu-ribu penduduk Sarawak termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Seorang penduduk di Bandaraya Miri, Ismail Murshidi, 57, ketika diminta mengulas mengenai pelbagai projek yang sedang dijalankan kerajaan, berkata malah mereka yang tinggal di kawasan jauh di Sarawak menikmati pembangunan yang dilaksanakan di sekitarnya.

"Saya percaya kerajaan kita sekarang lebih serius dan berusaha gigih untuk membawa pembangunan untuk rakyatnya. Malah keluarga saya di kawasan Mukah kini bercakap mengenai kemudahan mudah ke kampungnya dengan jalan bertar, bekalan elektrik 24 jam dan bekalan air paip," kata beliau.

Seorang nenek, Jakiah Sigin berkata ramai penduduk bercakap mengenai lebih banyak projek pembangunan yang akan membawa sedikit impak positif dalam kehidupan mereka.

"Sesetengah, bagaimanapun, percaya bahawa projek seperti itu akan dilaksanakan kerana pilihan raya negeri akan diadakan tidak lama lagi. Tetapi, bagi saya, sik hal-lah (tidak ada masalah) kerana sama ada pilihan raya atau tidak, rakyat akan menikmati daripada projek itu," kata beliau.

Banyak kalangan parti pembangkang, yang dikatakan tidak ada idea untuk berkempan semasa pilihan raya kecil di Kerdau dan Merlimau pada 6 Mac lepas, cuba mempersoal masa kerajaan membuat pengumuman itu, dan hanya untuk memancing undi.

Jika parti-parti pembangkang mengulangi dakwaan yang sama di Sarawak, parti itu sudah tentu akan gagal untuk mendapat simpati daripada pengundi di sana, seperti nenek Jakiah, yang bijak untuk membezakan antara janji kosong pembangkang dan janji BN yang dipenuhi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerajaan berhasrat untuk menyiapkan semua projek di bawah NKRA di Sarawak menjelang 2012 dan beliau memantaunya dengan rapat menerusi laporan bulanan mengenai kemajuannya.

--Bernama

ADS