Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais: SKMM akan siasat juruhebah Free S'wak radio
Diterbitkan:  Apr 11, 2011 10:44 PM
Dikemaskini: Apr 12, 2011 1:33 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diminta menjalankan siasatan sama ada juruhebah stesen Free Sarawak Radio menghasut rakyat atau menggunakan kiasan berkaitan isu-isu keselamatan.

    

NONE Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata Kementerian Dalam Negeri juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

    

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan projek Kampung Wifi Nanga Machan di bandar Nanga Machan dekat sini hari ini, Rais berkata sekiranya siasatan itu membuktikannya, kementerian akan melaporkan perkara itu kepada Pejabat Peguam Negara untuk diambil tindakan.

Stesen radio yang beroperasi secara rahsia itu dilaporkan bersiaran dari London, dikatakan menggalakkan pendirian antikerajaan di kalangan rakat Sarawak di samping mengkritik pemimpin-pemimpin negeri dalam siarannya yang disiarkan dua kali sehari.

    

Berang dengan siaran radio itu, Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)  baru-baru ini membuat laporan polis di Kuching bagi membolehkan SKMM memulakan siasatan.

    

NONE "Kami tidak boleh secara sembarangan menghentikan mana-mana isyarat daripada sumber internet atau menerusi frekuensi gelombang pendek kerana ini termaktub dalam Konvensyen Hak Asasi Manusia Geneva.

    

"Daripada segi kritikan, kami tidak boleh berbuat apa-apa. Kita tidak harus berasa terlalu cemas sama ada mereka berkata benar atau sebaliknya,” katanya.

Mengenai kritikan oleh pemimpin pembangkang mengenai projek Kampung WiFi adalah tidak praktikal kerana menggunakan banyak tenaga kuasa, Rais berkata perkara itu tidak benar dan ini hanya mencerminkan kejahilan mereka.

    

"Projek Kampung Wifi menggunakan tenaga minimal kerana ia menggunakan "Very Small Aperture Terminal" (VSAT) iaitu sistem komunikasi berasaskan satelit.

 "VSAT dengan mudah boleh hantar isyarat ke komputer dan komputer riba," katanya.

    

Rais berkata dakwaan bahawa ia menggunakan banyak tenaga kuasa hanyalah retorik politik pemimpin pembangkang seperti setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

"Beliau mungkin dengki bahawa usaha SKMM mengagihkan komputer notebook dan pewujudan Kampung Wifi kini amat berjaya. Bukan menjadi dasar kerajaan untuk melaksanakan sesuatu yang tidak praktikal atau akan membebankan rakyat," katanya.

-  Bernama    

ADS