Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengketepikan saman RM100 juta yang difailkan oleh Ummi Hafilda Ali ke atas ahli perniagaan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda dan Malaysiakini.

Perkara itu dibawa untuk pengurusan kes hari ini setelah ia difailkan bulan lalu dan mendapat publisiti meluas oleh media.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menolak saman itu selepas peguam kedua-dua plaintif dan defenden gagal menghadirkan diri apabila kes itu disebut pagi ini.

NONE Ummi juga tidak hadir.

Saman itu difailkan melalui firma peguam Tetuan Sahrihan & Hamdan 17 Mac lalu. Dalam samannya, beliau mendakwa sebuah artikel yang disiarkan dalam Malaysiakini pada 15 Mac tahun ini, yang memetik kenyataan Baginda di lobi parlimen sebagai bersifat fitnah dan menyerangnya secara peribadi.

Dakwanya, kenyataan itu adalah semata-mata untuk memalukannya dan bermotifkan niat jahat kerana menggambarkan bahawa seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal dan amat tidak jujur.

Selain menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, plaintif memohon satu injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan-kenyataan berbau fitnah terhadapnya.

Ummi Hafilda juga turut memohon ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, serta lain-lain relif yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah

ADS