Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teknik psikik kembalikan ingatan pegawai SPRM
Diterbitkan:  Apr 21, 2011 9:07 PM
Dikemaskini: Apr 22, 2011 1:34 AM

Pendekatan baru digunakan oleh seorang anggota suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock, dalam percubaan untuk menyelami minda pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pertemuan terakhirnya dengan setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor itu.

Pakar patologi forensik, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom  meminta penolong pegawai penguatkuasa SPRM, Bulkini Paharuddin menutup matanya dan kembali ke saat dia pertama melihat Teoh pada awal pagi 16 Julai 2009.

Prof Dr Mohamed Hatta, yang juga dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya. menerangkan bahawa beliau mahu mencuba satu teknik baru ke atas Bulkini.

Beliau kemudian mengarahkan pegawai mahkamah supaya memalapkan lampu-lampu dalam bilik mahkamah di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada Jalan Duta, tempat siasatan itu dijalankan.

"Tutup mata anda, cuba relaks, dan gerak kepala anda ke bawah. Saya akan beri anda 40 hingga 60 saat untuk menenangkan diri anda," kata Prof Dr Mohamed Hatta dalam arahannya kepada Bulkini.

"Bayangkan anda dalam lokasi kegemaran anda... (kemudian) bawa fikiran anda perlahan-lahan ke 'episod tandas'."

Sesi itu berlangsung selama 10 minit sebelum prosiding berakhir pada 1.10 tengah hari.

    

Beliau adalah juga seorang anggota suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh,  yang mayatnya ditemui di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu, pada 16 Julai 2009.  

    

Teoh, 30, adalah setiausaha politik ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah,  yang juga exco kerajaan negeri Selangor.

Sementara itu Bernama melaporkan, selepas selesai sesi itu, Bulkini memberitahu suruhanjaya berkenaan bahawa lelaki yang ditemui berkemungkinan adalah Teoh berdasarkan seluar berwarna putih yang dipakainya sama dengan seluar yang dipakai oleh Teoh.

    

"Saya ternampak seorang lelaki Cina berseluar putih dan memakai baju berwarna hitam dengan kepala ditundukkan masuk ke dalam tandas dengan tangan kanan lelaki itu membuka pintu tandas berkenaan.

    

"Saya juga nampak seorang lelaki terbaring di atas lantai dalam keadaan ngeri dan lelaki itu turut memakai seluar berwarna putih dan berbaju hitam," kata Bulkini ketika diminta Mohamed Hatta untuk memberikan gambaran yang tercetus dalam mindanya.

    

Bulkini berkata pada awalnya beliau tidak menjangka lelaki Cina yang ditemuinya pada pukul 2.15 pagi 16 Julai 2009 itu adalah Teoh sehingga berita kematian Teoh disiarkan melalui televisyen.

    

"Selepas berita itu tersebar, saya mendapat gambaran kemungkinan lelaki yang saya temui adalah orang yang sama ditemui mati di bangunan SPRM berdasarkan kepada warna seluar simati yang berwarna putih.

    

"Jarang saya berjumpa lelaki memakai seluar warna putih dan selepas melihat gambaran si mati (Teoh) dalam TV, saya teringat kepada lelaki Cina yang saya temui turut memakai seluar putih," katanya.

    

Bulkini turut disoal peguam Christopher Leong dari Majlis Peguam mengapa dalam keterangan pertamanya kepada polis beliau tidak menyatakan mengenai pertemuan itu namun memberikan keterangan itu selepas tiga minggu setelah kematian Teoh.

    

"Selepas saya yakin bahawa seluar putih yang dipakai si mati adalah sama dengan warna seluar yang dipakai oleh lelaki yang saya ditemui, barulah saya membuat keputusan untuk memaklumkan kepada polis mengenai perkara itu," kata Bulkini.

    

Bulkini, yang terlibat dalam temubual dengan Tan pada hari yang sama Teoh disiasat, menyifatkan Tan seorang yang panas baran.

    

Sifat Tan itu disedari apabila Tan memarahi isterinya di hadapan Bulkini dan beberapa lagi pegawai SPRM ketika mereka berjumpa dengan isteri Tan di tempat kerja isterinya, kata saksi itu.

    

Bulkini, yang fasih berbahasa Cina, berkata Tan memarahi isterinya dengan berkata: "Kau diam. Kau ikut sahaja cakap aku."

    

Bulkini turut memberitahu suruhanjaya bahawa Tan berkelakuan agak "luar biasa" dan ini terjadi ketika mereka berjumpa Tan di rumahnya di Bandar Mahkota, Cheras pada 15 Julai 2009.

    

"Ketika kami sampai di rumahnya, Tan bertindak menyelerakkan rumahnya dengan sengaja menjatuhkan barang seolah cuba mengenakan pegawai SPRM dan sepanjang mereka berada bersama, Tan asyik menggunakan telefon bimbitnya.

    

"Saya ada menegurnya supaya jangan menggunakan telefon bimbit, namun Tan menjawab 'kamu tiada hak untuk menghalang saya daripada menggunakan telefon', kata Bulkini ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili SPRM.

    

Bulkini turut menolak dakwaan Tan yang beliau menggunakan kekerasan semasa menemubual Tan.

    

"Saya tidak melemparkan "pouch bag" kepada Tan dan saya juga tidak menggertaknya jika beliau enggan memberikan kerjasama.

    

"Dakwaan Tan bahawa saya memintanya berdiri selama beberapa jam adalah tidak munasabah kerana beliau duduk di kerusi dan saya duduk di atas lantai ketika temubual dijalankan," katanya.

    

Pengerusi suruhanjaya siasatan itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, memaklumkan prosiding hari ini bahawa tiada bukti yang menunjukkan setiausaha politik itu telah mendaftar untuk berkahwin dengan Soh Cher Wei.

    

Katanya siasatan itu dibuat oleh penyiasat persendirian Michael Leslie Squires selepas timbul isu bahawa Teoh akan berkahwin sehari selepas beliau ditemui mati.

    

Terdahulu, pegawai perisikan SPRM Hafiz Izhar Idris memberitahu suruhanjaya itu bahawa sepanjang perbualannya dengan Teoh di pejabat SPRM, Teoh hanya memaklumkan bahawa beliau belum berkahwin.

    

Saksi itu berkata isu Teoh akan mendaftarkan perkahwinan mereka pada 17 Julai 2009 tidak timbul kerana sepanjang perbualan itu, beliau hanya diberitahu tentang pekerjaan dan tempat tinggalnya.

    

Pada 17 Julai 2009 iaitu sehari selepas mayat Teoh ditemui, Soh memberitahu wartawan bahawa beliau sedang mengandung dua bulan dan pada hari tersebut sepatutnya mendaftarkan perkahwinan mereka di Alor Gajah, Melaka.

    

Anak Teoh kini berusia dua tahun.

Selain Foong dan Mohamed Hatta, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

    

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner, yang sebelum itu menyiasat kes berkenaan, membuat keputusan "terbuka".

    

Prosiding disambung Isnin ini.

ADS