Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Asri: Lebih baik PAS-Umno imbangi satu sama lain
Diterbitkan:  May 4, 2011 6:13 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan dakwaan 'pengkhianat Islam' hanya boleh diterima pakai untuk pihak yang membenci kepada perpaduan umat Islam dan bukan terhadap penentang penyatuan Umno dan PAS.

NONE Katanya, demi keseimbangan politik negara, adalah lebih baik bagi Umno dan PAS meneruskan perjuangan masing-masing.

"Saya tidak fikir asimilasi parti ke dalam parti yang lain yakni PAS menjadi Umno, Umno menjadi PAS akan membuahkan hasil keseimbangan politik dalam negara kita.

"Kalau PAS menjadi Umno, Umno menjadi PAS nanti tidak akan ada keseimbangan parti politik. Apa yang akan ada hanya kerakusan kuasa dan wewenang  (hak dan kekuasaan untuk berbuat sesuatu atau untuk mengeluarkan perintah),” kata Dr Asri ketika diwawancara TV Selangor .

Beliau mengulas kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai mendakwa pihak-pihak yang menentang penyatuan Umno dan PAS adalah sebagai pengkhianat Islam.

NONE "Kita kena tengok dulu apa maksud penyatuan itu, jika penentangan itu dibuat memang kerana dia membenci penyatuan orang Islam dalam erti kata ukhwah ummat Islam kerana dia tidak suka lihat orang islam berpadu  maka kenyataan itu boleh diterima pakai.

Ukhwah Islamiah

"Tetapi terdapat kemungkinan bahawa sesetengah pihak itu tidak menentang penyatuan umat Islam, tetapi mungkin dia ingin melihat adanya kepelbagaian di dalam politik dan keseimbangan politik kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi," katanya.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106 Utusan Malaysia hari ini memetik Dr Juanda sebagai berkata pihak-pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan dalam Islam.

Dr Juanda ( kiri ) pula tidak dapat dihubungi untuk mempertahankan kenyataannya di Utusan kerana berada di Madinah menghadiri perjumpaan mufti-mufti dunia.    

Jelas Dr Asri, tidak salah untuk PAS dan Umno cuba mencari titik persefahaman atas isu-isu kepentingan sama yang boleh memartabatkan syiar Islam di negara ini.

Ini boleh dilakukan tanpa mana-mana parti melepaskan agenda politik masing-masing dalam membela rakyat.

"Bersatu ini boleh jadi dalam prinsip-prinsip Islam, bersatu dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama.

NONE "PAS dan Umno mesti menghubungkan diri di antara satu sama lain di atas dasar ukhwah Islamiah. Bagaimanapun jangan menafikan peranan parti-parti ini untuk melakukan check and balance dalam pentadbiran negara,” kata Dr Asri.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menggesa PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana mendakwa kerjasama pembangkang hanya menguntungkan DAP.

Dibelit rasuah

PAS bagaimanapun menolak perlawaan itu dan memberi pelbagai contoh bagaimana perjuangan Umno untuk mendokong Islam tersasar dan semakin terhakis apabila parti itu dibelit dengan rasuah dan penyelewengan kuasa.

hadi awang and pas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat.

Dr Asri berkata penyatuan serta kerjasama antara Umno dan PAS telah dibincang serta dibahaskan sejak sekian lama, sama ada di media mahu pun di kalangan rakyat.

Namun, katanya, penyatuan dua parti berkenaan adalah lebih baik dibataskan atas dasar hubungan ukhwah Islamiah sahaja dan bukan untuk mencari kemenangan politik.

NONE "Saya berharap PAS dan Umno mempunyai hubungan ukhwah Islamiah persaudaraan Islam, hormat menghomati sebagai Muslim, tahu hak-hak antara satu sama lain sebagai Muslim.

“Tetapi dalam masa yang sama ia tidak menafikan untuk mereka berbeza dalam politik dan sentiasa menjadi pengimbang antara satu sama lain dalam politik,” katanya.  

 

ADS