mk-logo
Berita
Dr M: Tak benar kereta lain mahal kerana Proton
Diterbitkan:  May 11, 2011 12:27 AM
Dikemaskini: 8:25 AM

Penasihat Proton Holdings Bhd Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa harga kereta yang dijual di negara ini mahal kerana pengeluar kereta nasional itu adalah tidak benar.

NONE "Dari dulu lagi, kerajaan telah mengenakan cukai yang tinggi supaya negara tidak melihat pengaliran wang kita (dalam penjualan kereta) terlalu banyak ke luar negeri," kata beliau semasa berucap pada pelancaran Pusat Logistik Proton di Sijangkang dan Tanjung Malim, semalam.

Dr Mahathir berkata mereka yang membeli kereta Proton adalah satu perbuatan amal jariah kerana apabila Proton maju, ramai yang mendapat kerja dan dapat menyara keluarga mereka.

"Kita ingin melihat Proton memainkan peranan sebagai satu jentera sosio ekonomi yang menolong menjayakan dan membahagiakan kehidupan rakyat kita di Malaysia," kata beliau.

NONE Beliau yakin Proton akan kembali sebagai penjual kereta nombor satu di Malaysia tidak lama lagi.

Melalui pusat-pusat logistik itu, kereta Proton yang siap dipasang di kilang di Shah Alam akan dihantar ke pusat berkenaan di Sijangkang dan proses serupa juga berlaku di kilang pemasangan Proton di Tanjung Malim.

Di pusat logistik itu, kereta-kereta akan diperiksa dan diuji bagi menentukan kualitinya memenuhi piawaian yang ditetapkan sebelum diedarkan kepada pengedar ataupun dieksport ke luar negara.

Dr Mahathir berkata penjualan Proton biasanya mencecah 80 peratus daripada kereta yang dijual tetapi dengan adanya Perodua dan kereta import dari Korea Selatan dan negara lain, maka penjualan Proton susut sedikit.

NONE Penjualan kereta di Malaysia meningkat sehingga 570,000 unit dalam satu tahun yang merupakan angka tertinggi di Asia Tenggara kerana negara lain mungkin menjual lebih daripada jumlah itu tetapi rakyat mereka adalah 10 kali ganda daripada jumlah rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir berkata Proton perlu menumpukan kepada kualiti buatan keretanya kerana dalam perniagaan, imej adalah penting. Jika ada yang mengadu tidak puas hati, biarpun seorang, ia akan memberi gambaran seolah-olah semua kereta buatan Proton bermasalah, katanya.

NONE Mengenai dakwaan seorang penulis blog yang mengatakan tingkap kereta Proton tidak boleh diturunkan sehingga pemilik kenderaan itu terpaksa membuka pintu dan turun daripada keretanya untuk membayar tol, beliau berkata dakwaaan itu keterlaluan.

"Saya juga bawa kereta melalui tol dan saya belum lagi ternampak orang yang bawa kereta Proton (terpaksa) turun daripada kereta kerana nak bayar tol.

"Namun demikian ramai yang percaya inilah sebenarnya yang berlaku," kata beliau, sambil menjelaskan bahawa dakwaan sebegitu walaupun kecil, perlu mendapat layanan yang baik daripada syarikat.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS