Malaysiakini BERITA

Anwar, Sheikh Wahbah di pentas Maqasid Syariah

Elissa Helmy  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ulama Besar Dunia dari Damsyik, Syria, Sheikh Prof Dr Wahbah Mustafa Al-Zuhaily tampil pada majlis wacana Seminar Maqasid Syariah yang diadakan di Melaka dan turut dihadiri Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sheikh Prof Dr Wahbah Mustafa Al-Zuhaily with Anwar Ibrahim on seminar Maqassid Syariah Seminar bertajuk 'Maqasid Syariah Dalam Masyarakat Majmuk' adalah anjuran ABIM dan dihadiri lebih 250 orang yang terdiri daripada NGO, termasuk anggota ABIM sendiri.

Selain Anwar, turut tampil selaku penceramah adalah mereka yang pernah menerajui ABIM termasuk Prof Dr Mohd Nur Manuty dan Yang Dipertua PAS Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman.

Ketika menyampaikan ceramah selama kira-kira setengah jam itu, Prof Dr Wahbah menjelaskan tentang maksud maqasid syariah yang dapat difahami bahawa setiap peraturan ajaran Islam yang diturunkan bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada manusia sejagat.

Menurutnya, ia adalah satu keperluan asas dan akibat jikalau tidak mengikutinya akan menyebabkan masyarakat terbahagi kepada dua iaitu yang cintakan keamanan serta yang gemar menyalakan api kebencian masyarakat.

Sheikh Prof Dr Wahbah Mustafa Al-Zuhaily with Anwar Ibrahim on seminar Maqassid Syariah Katanya, program yang dianjurkan itu amat baik dan bersesuaian di dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini terutama dalam konteks penyatuan masyarakat di negara ini.

Beliau turut menjelaskan, Islam adalah agama yang terbuka kepada semua bangsa dan penganut agama lain.

"Sejarah telah membuktikan sesiapa sahaja yang bernaung di bawah Islam tidak kira berlainan agama dan bangsa akan mendapat faedah serta kebaikan.

"Di dalam al-Quran jelas menyatakan Islam itu sendiri membawa keamanan dan menyelamatkan hak-hak setiap masyarakat," katanya ketika menyampaikan ceramahnya petang semalam.

Ulama Besar Dunia from Damsyik, Syria, Sheikh Prof Dr Wahbah Mustafa Al-Zuhaily with Anwar Ibrahim on seminar Maqassid Syariah Mengupas lebih mendalam mengenai maqasid syariah, Dr Wahbah berkata, ia adalah asas kepada agama Islam dan dianggap sebagai akar umbi agama.

Malah, jelasnya, salah satu nama Allah juga iaitu as-Salam bermaksudkan pendamaian, justeru beliau menyeru supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dan jangan berpegang hanya kepada sesuatu kaum tertentu sahaja.

"Sekiranya terdapat pertikaian, eloklah dibawa berbincang atau menyertai forum bagi menyelesaikan segala kekusutan demi melahirkan kedamaian.

"Di samping itu, Islam juga mengharamkan pembunuhan biarpun sesama bukan Islam," katanya.