Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menarik balik kebenaran untuk mengadakan konsert MTV World Stage yang akan diadakan di I-City Shah Alam pada 24 Julai ini.

Katanya, konsert berkenaan tidak sesuai dijalankan di I-City kerana lokasi berkenaan tidak mempunyai infrastruktur yang sesuai bagi penganjuran konsert seperti itu.

NONE Malah, infrastruktur yang terdapat di pusat teknologi berstatus Multimedia Super Corridor (MSC) itu juga sebenarnya dibina bagi program bercirikan teknologi maklumat dan bukannya berbentuk hiburan.

“Perkara ini telah diluluskan oleh pihak MBSA dalam mesyuarat terbaru walaupun telah ditentang oleh ahli majlis kita,” katanya lagi.

"Saya minta pihak kerajaan berterus terang, apa sebenarnya yang hendak dibuat di situ. Jangan pakai imej (status) MSC tapi buat program (hiburan) di situ.

Penduduk bantah

"Mereka dapat pelbagai pengecualian cukai dan pelbagai insentif, tapi buat perkara lain," katanya lagi dalam satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.

Khalid juga berkata, pejabat beliau juga telah dihujani dengan bantahan daripada penduduk Shah Alam yang tidak bersetuju dengan lokasi I-City sebagai tempat penganjuran konsert berkenaan.

NONE Penduduk kawasan itu antara lainnya memberi alasan, lokasi berkenaan terletak terlalu hampir dengan kawasan perumahan Seksyen 7, Shah Alam, katanya.

Selain masalah bunyi bising, penganjuran konsert itu juga akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut, kata Khalid lagi.

“Kawasan IPT (institut pengajian tinggi) yang berada berdekatan dengan kawasan itu turut menimbulkan kerisauan penduduk tempatan. Minda pelajar-pelajar tersebut boleh terpesong ekoran konsert tersebut,” katanya.

Dalam sidang media sama, ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata penganjuran konsert itu dibimbangi akan menjadi trend sekiranya ia dibiarkan berlaku.

Budaya kuning

“Kita tidak mahu memulakan satu trend apabila konsert itu diadakan dan mendapat sambutan ia akan menjadi satu trend kepada I-City dan masyarakat Shah Alam,” katanya yang bimbang konsert itu akan menjejaskan hampir 60 ribu orang penuntut yang berada di sekitar kawasan itu.

NONE “Budaya kuning akan menembusi minda orang muda. Kita perlu lihat jenis hiburan apa yang ingin dijadikan role model kepada anak muda” katanya.

Ketika ditanya, Siti Mariah berkata, PAS bukanlah berniat untuk menghalang para pelajar berkenaan daripada menikmati hiburan berkenaan.

Jelasnya lagi, tindakan itu selari dengan keinginan bekas Sultan Selangor, Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah yang ingin menjadikan Shah Alam sebagai bandar yang bebas dari maksiat.

“Shah Alam sendiri tiada panggung wayang. Adakah penganjuran konsert ini sebagai percubaan untuk memecahkan tembok ini,” katanya lagi yang turut meminta supaya konsert berkenaan ditangguhkan.

Konsert berkenaan akan membariskan antara lainnya kumpulan rock daripada Amerika Syarikat, 30 Seconds To Mars serta beberapa kumpulan tempatan termasuk Pop Shuvit dan penyanyi solo Man Bai.

 

ADS