Menang Piala FA, Sukma: Terengganu cuti Ahad ini

   

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan cuti umum bagi seluruh negeri itu Ahad ini sempena kemenangan skuad bolasepak negeri itu menjulang Piala FA Sabtu lalu.

kuala terengganu by election 120109 ahmad said Cuti peristiwa itu juga sempena kejayaan kontinjen Terengganu menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 di Kuala Lumpur, yang berakhir semalam, buat kali ketiga berturut-turut.

Ahmad membuat pengumuman itu pada sambutan meraikan wira skuad Penyu dan Sukma di Dataran Shahbandar yang dihadiri kira-kira 10,000 penyokong.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Bolasepak Terenggganu, Datuk Che Mat Jusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat.

Ahmad berkata cuti umum itu sebagai penghargaan kepada pemain dan juga peminat yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada arena sukan tempatan.

Pada majlis itu juga, beliau mengumumkan habuan sebuah komputer riba dan pakej percutian ke Eropah bersama wang saku RM10,000 kepada setiap pemain pasukan Penyu serta pegawai dan pengurus pasukan berkenaan.  

Sementara itu, atlet Sukma yang memenangi emas pada kejohanan itu bakal menerima RM5,000 setiap seorang, RM3,000 untuk pingat perak dan RM2,00 untuk pingat gangsa.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda