Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
39 individu ditangkap di Johor
Diterbitkan:  Jun 29, 2011 5:59 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Polis Johor menahan 39 individu termasuk seorang seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun di sekitar negeri ini kerana menyebarkan risalah berhubung penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, semua 24 lelaki dewasa, 14 wanita dan kanak-kanak itu ditahan secara berasingan sejak Jumaat sehingga Isnin lalu.

NONE "Penahanan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki, di Kluang, pada Jumaat lalu. Pada hari yang sama, polis turut menahan dua lelaki dan empat wanita dalam satu sekatan jalan raya di Batu 43, Jalan Batu Pahat-Mersing serta merampas 5,567 risalah daripada mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bharu, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, penahanan seterusnya dilakukan pada Sabtu terhadap 21 lelaki dan sembilan wanita yang menaiki sebuah bas persiaran dan sebuah kereta Toyota Hilux, di Tangkak, dekat Ledang.

NONE Beliau berkata, dua daripada yang ditahan itu merupakan rakyat Filipina serta Korea Selatan dan polis merampas 1,435 risalah mengenai perhimpunan berkenaan daripada mereka.

Katanya, polis pada Isnin menahan seorang wanita di pasar malam Taman Perling, di Johor Bharu, ketika wanita terbabit bersama suami dan anaknya yang berumur tujuh tahun sedang menyebarkan risalah mengenai perhimpunan itu kepada orang ramai.

"Suami wanita itu yang mendapat taraf pemastautin tetap di negara ini berjaya melarikan diri dan polis kini menubuhkan pasukan khas bagi mengesannya," katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas direkodkan keterangan.

NONE Beliau berkata, Polis Johor menerima 107 laporan daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjuran perhimpunan berkenaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang risalah dan tidak terpengaruh untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

 - Bernama

ADS