Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: 'Kita tidak mempunyai banyak masa'
Diterbitkan:  Jul 24, 2011 2:42 PM
Dikemaskini: Jul 25, 2011 1:10 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua parti komponen dan anggota gabungan Barisan Nasional (BN) merapatkan barisan menjadi satu pasukan BN mulai sekarang bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.  

    

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata perpaduan di kalangan parti komponen dan anggota gabungan ialah pra-syarat utama yang mesti diberi tumpuan utama ia boleh memberi kesan kepada PRU.

    

"Kita tidak mempunyai banyak masa. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan kita mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa kita mempunyai pasukan yang mantap untuk berdepan pilihan raya umum.

    

"Kalau sebelum ini kita mempunyai Team 1, Team 2 dan sebagainya, saya mahu mulai sekarang, kita hanya mempunyai satu team sahaja iaitu Team BN," katanya ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan ke-19 parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) ke-19 di Seri Kembangan di ibunegara hari ini.

    

IPF yang diasaskan mendiang Tan Sri M.G Pandithan pada tahun 1991 telah diterima sebagai anggota gabungan BN pada awal tahun ini. Ini juga merupakan kali pertama persidangan tahunan parti itu dirasmikan oleh pemimpin tertinggi negara.

Muhyiddin berkata dasar kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat adalah pra-syarat kedua yang perlu diberi perhatian.

   

Beliau menegaskan bahawa semua anggota parti komponen BN harus terus mendukung perjuangan kerajaan dalam mendahulukan rakyat dalam setiap aspek sosial dan ekonomi.

Ini merupakan teras penubuhan parti-parti komponen BN yang mahu memperjuang dan membela nasib rakyat, kata Muhyiddin.

   

"Seperti juga IPF, perjuangannya bukan untuk mendiang Pandithan, tetapi untuk membela nasib rakyat jelata supaya menjadi lebih baik dan usaha ini perlu diteruskan," katanya.

Timbalan perdana menteri turut menegaskan bahawa perpaduan nasional negara ini perlu dipertahankan dan mana-mana anasir jahat harus ditentang.

   

Mengambil contoh serangan berkembar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Oslo, Norway yang kini telah mengorbankan lebih 90 nyawa, Muhyiddin berkata perkara sedemikian tidak harus dibenarkan berlaku di sini.

"Kalau ada pihak yang mahu memporak-perandakan kita dengan politik sempit, kita harus menentang mereka," katanya.

   

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya kepada hampir 2,000 anggota IPF, Timbalan Perdana Menteri mengiktiraf sokongan dan peranan IPF kepada BN selama ini walaupun hasratnya untuk menjadi parti komponen BN belum tercapai.

Beliau mencadangkan supaya presiden IPF M. Sambathan menyediakan dan mengemukakan kepada beliau projek yang mahu dilaksanakan oleh parti itu dalam membantu rakyat.

"Saya juga berjanji akan memberi peruntukan untuk pelaksanaan operasi... aktiviti-aktiviti boleh dijalankan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Sementara itu, IPF akan terus berusaha merealisasikan hasratnya supaya diterima sebagai parti komponen BN.

Presidennya,  M Sambathan berkata parti itu merupakan penyokong kuat BN dan berharap permohonannya untuk menjadi anggota penuh akan disokong oleh parti komponen lain dalam BN.

   

IPF, serpihan daripada MIC, ditubuhkan oleh mendiang Tan Sri M G Pandithan pada 1991 ekoran perselisihan antara beliau dan Presiden MIC ketika itu, Datuk Seri . Samy Vellu.

   

Sejak itu, permohonannya untuk menjadi anggota penuh BN telah ditolak (memandangkan untuk menjadi anggota memerlukan sokongan sebulat suara daripada semua parti komponen). Bagaimanapun sejak awal tahun ini, IPF diterima sebagai anggota bersekutu BN.

   

"Kita masih berharap BN akan membuka pintunya untuk kita menjadi ahli kekal. IPF menganggap MIC sebagai abang dan juga berharap semua komponen parti BN akan menyokong permohonan kita," katanya pada perhimpunan agung tahunan ke-19 parti tersebut di Seri Kembangan hari ini.

   

Dalam perkembangan lain, Sambathan turut memohon agar kepimpinan tertinggi BN mempertimbangkan jawatan Senator kepada IPF.

   

Beliau berkata IPF akan terus menyokong kepimpinan BN dan program transformasi kerajaan.

   

"Saya berjanji kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan timbalan perdana Menteri bahawa IPF akan terus menyokong dasar-dasar kerajaan BN dan bekerjasama dengan komponen parti BN setiap masa," katanya.

- Bernama

 

ADS