Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor kesal insiden serbuan, minta JAIS sedia laporan
Diterbitkan:  Aug 4, 2011 9:34 AM
Dikemaskini: 10:27 AM

Kerajaan Selangor memandang serius kejadian di mana polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya, malam tadi.

NONE Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara peribadi telah menghubungi Paderi kanan DUMC, Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden itu.

"Saya memberitahu beliau bahawa saya telah minta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyediakan laporan penuh mengenai insiden ini, termasuk sebab-sebab terperinci serbuan tersebut dilakukan.

"Saya berharap dapat berjumpa dengan Pastor Daniel Ho sebaik sahaja laporan lengkap ini diterima," katanya.

Menteri besar menegaskan bahawa kerajaan Selangor selalu menghormati kebebasan beragama dan hak semua pihak untuk meraikan kebudayaan dan kepercayaan mereka.

Beliau juga mengulangi bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan tolenrasi di kalangan rakyat yang pelbagai agama serta amat menghargai usaha-usaha meningkatkan kefahaman antara agama sekaligus menyatupadukan rakyat.

JAIS dilaporkan malam tadi menyerbu sebuah majlis makan malam yang diadakan di sebuah gereja di Petaling Jaya tanpa sebarang waran.

azlan Puluhan anggota JAIS dan polis didakwa memasuki bangunan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada sekitar jam 10 malam dan mula menyoal hadirin berbilang kaum pada majlis itu.

Daniel dilaporkan berkata majlis makan malam itu diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO yang menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan.

"Mereka masuk ke dewan di mana majlis sedang diadakan dan merakamkan video dan gambar,” kata Ho dalam satu kenyataan.

"Bila ditanya penganjur mengapa mereka berada di sana, (pegawai) Jais berkata mereka menerima aduan, tetapi dia gagal memberi sesalinan (aduan) apabila diminta berbuat demikian,” katanya.

Ho berkata anggota Jais turut mencatatkan butiran tetamu beragama Islam yang hadir sebelum meninggalkan bangunan itu dengan polis.