BERITA Malaysiakini

Isu gereja: Umno S'gor tuntut PAS minta maaf

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Umno Selangor menyifatkan kenyataan setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali yang menuduh Umno mendalangi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lepas sebagai berniat jahat.

    

Justeru, setiausaha badan perhubungan Umno Selangor Datuk Mohd Zin Mohamed menuntut Mustafa memohon maaf secara terbuka dan Umno bersedia mengambil tindakan undang-undang jika beliau gagal berbuat demikian.

    

Mohd Zin berkata pemeriksaan yang dilakukan di DUMC merupakan perkara yang melibatkan penguatkuasaan agama dan tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

    

Dalam satu kenyataan di Shah Alam, beliau berkata JAIS harus bebas daripada ancaman, ugutan dan tohmahan serta campurtangan politik kerana isu membabitkan agama wajar diurus secara profesional dan berkesan.

    

"PAS harus segera berhenti menyalahkan pihak lain dalam setiap isu yang berlaku dalam pentadbiran di Selangor," katanya.

    

Semalam, Harakah melaporkan Mustafa menyeru pemimpin dan anggota PAS supaya tidak terperangkap atau terjebak dengan 'perangkap' Umno dalam isu JAIS dan gereja.

    

Beliau mendakwa medapat maklumat 'dalaman' Jais, berkait dengan operasi JAIS pada 3 Ogos 2011 lalu  bahawa ada elemen dan peranan Umno dalam operasi JAIS terhadap majlis yang diadakan di kawasan Gereja Methodist, Damansara Utama, Petaling Jaya itu.

    

Mustafa dilaporkan bersedia mendedahkan maklumat itu kepada Pengarah JAIS dalam pertemuan yang akan diadakan nanti.

- Bernama