Ajaran Kristian: Jabatan Pelajaran siasat sekolah

   

Berikutan laporan Utusan Malaysia bahawa seorang guru sekolah berbangsa India mendakwa terdapat murid beragama Islam sekolahnya yang mampu menyanyikan lagu memuji kebesaran Nabi Isa, Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur dikatakan telah memulakan siasatan.

Menurut laporan akhbar milik Umno itu, hari ini, sepasukan pegawai dari Bahagian Sektor Pendidikan Islam, jabatan itu mengunjungi  sekolah di Jalan Kuchai Lama di Kuala Lumpur itu, semalam, bagi mengambil keterangan seorang murid tahun satu berhubung dakwaan murid itu cuba dipengaruhi dengan ajaran Kristian.

Pertemuan antara murid dan pegawai dari Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur itu, disahkan oleh guru besar sekolah berkenaan tetapi beliau enggan mengulas lanjut, lapor Utusan .

NONE Dalam Ruangan Cuit, Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan semalam  mendakwa seorang guru sekolah berbangsa India memberitahunya, terdapat murid tahun satu dan enam sekolahnya mampu menyanyikan dengan bersemangat lagu memuji kebesaran Nabi Isa.

Lagu dinyanyikan adalah 'Yes, I know Jesus loves me' dan lagu 'Hari Ini Ku Rasa Bahagia' yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib, selain boleh bercerita kisah-kisah Nabi Isa termasuk kisah Nabi Isa disalib.

Menurut Zaini, difahamkan, para murid diterapkan ajaran agama Kristian secara halus ketika belajar di kelas tuisyen yang diberikan percuma oleh sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu.

[Baca berita penuh]

Malaysiakini
terkini untuk anda