Dr Tony Tan Keng Yam presiden baru S'pura

   

Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam menjadi presiden ketujuh republik tersebut, selepas memenangi pertandingan empat penjuru, dengan memperolehi 7,269 undi atau perbezaan 0.34 peratus selepas kiraan semula undi.

   

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yam Ah Mee mengumumkan keputusan itu pada awal pagi Ahad selepas beliau membenarkan kiraan semula undi berikutan perbezaan jumlah undi antara dua calon utama adalah kurang 2 peratus daripada jumlah undi yang sah.

   

NONE Keng Yam memperoleh 744,397 atau 35.19 peratus daripada jumlah undi yang sah manakala Dr Tan Cheng Bock mendapat 737,128 undi atau 34.85 peratus.

Tan Jee Say meraih 529,732 undi atau 25.04 peratus dan Tan Kin Lian mendapat 103,931 undi atau 4.91 peratus.

   

Ini merupakan kali pertama Singapura menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi jawatan presiden. Ia juga julung kalinya menyaksikan pertandingan dalam Pilihan Raya Presiden sejak 1993.

   

Presiden ialah ketua negara dan memegang jawatan itu bagi tempoh penggal enam tahun.

Pilihan raya Presiden ini disifatkan sebagai 'bersejarah' kerana ia julung kali diadakan sejak 1993 apabila Ong Teng Cheong menang dalam pertembungan satu lawan satu, dan buat pertama kali menyaksikan saingan membabitkan ramai calon yang bertanding.

Rakyat Singapura mula mengundi pada Sabtu untuk memilih Presiden baru di 781 pusat mengundi yang dibuka sejak 8 pagi.

Empat 'Tan' bertanding jawatan itu untuk menggantikan SR Nathan selaku penyandang, yang akan tamat penggal memegang jawatan pada 31 Ogos selepas berkhidmat selama dua penggal.

Mereka mengundi di pusat mengundi masing-masing. Terdapat kira-kira 2.27 juta calon yang layak mengundi di negara bandar raya ini.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda