BERITA Malaysiakini

Azizan bertegas mampu teruskan tugas MB

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini menegaskan bahawa kesihatan beliau berada dalam keadaan baik dan mampu menjalankan tanggungjawabnya mengurus pentadbiran negeri dengan sempurna.

azizan abdul razak pas and kedah "Nak ada pemangku buat apa? Ni dah keluar (hospital) dan semua sihat dah," kata beliau mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang menyatakan kepimpinan PAS sedang mengambil tindakan untuk menggantikannya disebabkan keadaan kesihatan Azizan yang kurang baik selepas diserang sakit jantung Julai lalu.

Menurut laporan itu, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan kepimpinan kerajaan negeri itu.

Azizan berkata, sekiranya kepimpinan PAS ingin berbuat demikian ia seharusnya dilakukan sewaktu beliau mula jatuh sakit dulu dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), bukannya sekarang.

Menteri Besar itu berkata, beliau bagaimanapun akur sekiranya kepimpinan PAS membuat keputusan untuk menggantikannya.

"Saya tak minta jadi Menteri Besar, depa yang suruh... kalau depa suruh berhenti, esok pun tak pa," katanya ketika ditemui semasa menziarahi keluarga Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Abdul Rahman Ahmad, yang meninggal dunia semalam, di Alor Setar.

 - Bernama