Pemuda PAS buat laporan terhadap Zainal Kling

   

Pemuda PAS hari ini membuat laopran polis terhadap Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Professor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling berhubung kenyataannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

Ketua dewan itu Nasrudin Hassan berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.30 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi oleh setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Menurut salinan repot yang dihantar kepada media, Pemuda PAS mendakwa kenyataan itu mengganggu-gugat kestabilan dan mengelirukan masyarakat yang sekian lama diajar bahawa British penjajah.

"Kenyataan ini juga sekaligus menafikan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Dol Said, Rosli Dobi dan lain-lain," laporan itu dipetik.

Kenyataan ini juga sekali gus menafikan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Dol Said, Rosli Dobi dan lain-lain.

Pemuda PAS juga mengesyaki terdapat agenda tersembunyi yang dirancang pihak tertentu di sebalik kenyataan itu, bertujuan menggugat keharmonian dan mewujudkan kegusaran masyarakat bagi mengalih perhatian terhadap isu-isu lain, tambah pengadu.

Sayap kanan PAS itu menuntut Dr Zainal disiasat dan didakwa di mahkamah kerana didakwa jelas melakukan kesalahan bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Seskyen itu meliputi kesalahan mengeluarkan kenyataan atau berita menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam yang boleh mendorong dan/atau mengapikan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.

Malaysiakini
terkini untuk anda