Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Selangor tidak bercadang untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, setakat ini tiada keputusan berkaitan dibuat, termasuk daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang merupakan badan tertinggi agama Islam negeri.

NONE "Selangor hanya akan melakukan apa-apa perubahan polisi agama Islam selepas mendapat nasihat dan juga cadangan daripada MAIS.

"Sehingga kini MAIS tidak ada membuat keputusan mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di bangunan SUK, Shah Alam lewat petang tadi.

Ditanya sama ada kerajaan Selangor bersetuju sekiranya hukum hudud dilaksanakan di negara ini, Khalid mengulangi bahawa di Selangor tiada keputusan dibuat.

Beliau juga enggan mengulas berhubung usaha melaksanakan undang-undang itu di Kelantan yang dipimpin sebuah lagi parti dalam gabungan pembangkang PAS.

"Saya tidak akan komen mengenai perkara itu," ujarnya sambil ketawa kecil.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu DAP keluar daripada PAS sekiranya tidak bersetuju pelaksanaan hudud, beliau masih enggan membuka mulut.

"Saya rasa saya tidak perlu komen perkara itu," kata Khalid lagi.

ADS