BERITA Malaysiakini

Dakwaan hina Sultan: SKMM siasat prof, Mkini

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memulakan siasatan terhadap pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah diraja Sultan Selangor baru-baru ini.

abdul aziz bari judiciary dilemma of the perak crisis 090609 "Seorang pegawai SKMM akan datang menemui saya di pejabat di Gombak jam 1030 (pagi) ini.

"Mungkin kerana desakan (kolumnis) Awang Selamat dalam MM ( Mingguan Malaysia ) semalam," katanya kepada Malaysiakini pagi ini.

Awang dalam kolumnya di akhbar Umno itu semalam berkata, ada pihak yang sepatutnya diberi tanggungjawab tidak membuat kerja dengan cekap, tegas dan berkesan.

Mengambil kesempatan menempelak kenyataan Aziz, Awang berkata isu sebegini sudah banyak kali dibangkitkan dan orang ramai bosan menunggu penyelesaiannya.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia seperti biasa akan ada alasannya," tulis Awang lagi.

Ambil masa lama

Aziz memberitahu, sesi itu selesai kira-kira dua jam kemudian.

Selepas selesai memberikan keterangan, Aziz berkata, beliau dimaklumkan disiasat ekoran laporan terhadapnya yang dibuat pada Jumaat lepas.

Katanya, soalan yang diajukan padanya sekitar perkara peribadi dan kerjayanya selain ketepatan laporan Malaysiakini berhubung isu itu.

"Sesi berjalan dalam suasana tenang. Mereka tanya soalan berhubung peribadi dan kerjaya, dan bidang kajian saya.

"Mereka juga tanya soal-soal seperti telefon bimbit, kemahiran ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) saya," katanya.

NONE Menurut Aziz, sesi itu mengambil masa lama sebab ada perkara yang dijelaskannya berkali-kali dan ada perkara yang tidak diingati dan tidak pasti jawapannya.

Sementara itu, SKMM juga petang ini menyiasat seorang wartawan Malaysiakini Jimadie Shah Othman berhubung isu yang sama di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Kenyataannya dirakamkan kira-kira 1 jam 30 minit mulai jam 3.30 petang oleh pegawai yang sama.