BERITA Malaysiakini

Sekumpulan lelaki ditahan ISA di Sabah

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Walaupun perdana menteri mengumumkan akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akta itu terus digunakan terhadap sekumpulan lelaki di Sabah kerana didakwa terbabit dengan kegiatan militan.

Bagaimanapun, memetik sumber, laporan akhbar tidak sepakat sama ada 10 atau sebelas orang ditahan bawah akta kontroversi itu.

NONE Difahamkan, penahanan kumpulan terbabit dilakukan pasukan petugas khas (operasi/ antipengganas) Bukit Aman hasil maklumat risikan, lapor Berita Harian dan The New Straits Times .

Sumber memaklumkan, antara yang ditahan antara Isnin hingga semalam, terdapat juga warga Filipina dan Indonesia.

"Semua mereka ditahan mengikut ISA yang masih terpakai kerana akta berkenaan belum dimansuhkan bagi membantu siasatan," sumber dipetik sebagai berkata.

Penahanan itu dilapor ekoran maklumat bahawa militan menggunakan Tawau sebagai tempat transit senjata daripada Filipina dan mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar - juga dikenali kumpulan Kaltin - yang beroperasi dari Kalimantan.

Pihak berkuasa juga difahamkam bahawa kumpulan itu merekrut warga tempatan dan menghantarnya berlatih di negara jiran.

Penahanan itu telah dimaklumkan kepada keluarga masing-masing melalui surat ( atas ).

Pesuruhjaya polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi enggan mengulas penahanan tersebut kerana kes itu dikendalikan Bukit Aman, lapor harian berbahasa Melayu itu lagi.

Perdana menteri malam hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Sementara itu, maklumat pada Twitter polis menyatakan usaha-usaha menghidupkan gerakan militan dikesan dan tujuh warga Malaysia dan enam warga asing ditahan bawah Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 di Sabah.