Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Majlis Peguam tak wakili pandangan rakyat
Diterbitkan:  Nov 28, 2011 2:09 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Pandangan presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berhubung Akta Perhimpunan Aman tidak mencerminkan pandangan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

NONE Justeru, Nazri ( kiri ) dipetik sebagai berkata kepada akhbar harian Cina, Sin Chew Daily , hari ini, kerajaan tidak akan menubuhkan satu Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen untuk inkuiri awam berhubung rang undang-undang itu, seperti yang dicadangkan oleh Majlis Peguam.

Dakwa Nazri, cadangan Lim dan segelintir peguam tidak mencerminkan pandangan rakyat di negara ini.

"Kerajaan yang mewakili rakyat, BN mempunyai 140 ahli parlimen dan sesetengah ahli parlimen Bebas juga menyokong kami.

"Saya cadangkan Lim Chee Wee daftarkan Majlis Peguam sebagai sebuah parti politik dan cabar saya di Padang Rengas pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Menurut Nazri rang undang-undang itu yang dijadualkan untuk dibahaskandi Dewan Rakyat masih mempunyai ruang untuk dipinda.

Katanya, mungkin terdapat lapan peruntukan yang akan dipinda seperti yang diumumkannya semalam, tetapi keputusan muktamad bergantung kepada perbahasan esok.

Sambil menafikan kerajaan berdolak dalik berhubung rang undang-undang itu, Nazri berkata kesediaan kerajaan memindanya adalah bukti kesedian BN mendengar kehendak rakyat.

NONE Majlis Peguam juga mengerahkan 14,000 anggotanya berarak dalam program dinamakan Walk for Freedom (berjalan untuk kebebasan) esok apabila rang undang-undang itu akan dibahas.

Lim sebelum ini berkata, rang undang-undang itu amat berbeza dengan amalan negara luar seperti United Kingdom dan Finland yang memerlukan notis lebih pendek untuk berhimpun dan langsung tidak perlu sekiranya tidak munasabah secara praktikalnya.

Pelbagai pihak juga membidas rang undang-undang baru itu yang dikatakan lebih teruk daripada Seksyen 27 Akta Polis. Antaranya, ia  mengenakan sekatan yang terlalu banyak dan memberi terlalu banyak kuasa budi bicara kepada pihak polis.

Selain itu, rang undang-undang itu juga memperuntukan denda RM20,000 terhadap peserta perhimpunan berbanding RM2,000 dalam Akta Polis, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS