Sumpah talak gagalkan k'jaan PAS-Umno Perak

       

Perwakilan Perak Datuk Shaarani Mohamad mendakwa enam wakil rakyat PAS di negeri itu enggan bersama BN untuk membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya umum 2008 kerana mereka terikat dengan satu bai'ah (sumpah setia).

Katanya, jika mereka berbuat demikian maka isteri diceraikan dengan talak tiga, sepertimana bai'ah tersebut.

NONE "Bai'ah PAS ni pelik. Pada tahun 2008 sewaktu kita menawarkan mereka untuk menubuhkan kerajaan Umno-PAS di negeri Perak, enam orang wakil rakyat PAS kata, tak boleh, sebab kami telah berbai'ah.

"Apa bai'ah dia, jika kami menyertai Barisan Nasional, jatuh talak tiga isteri kami di rumah," kata Shaarani.

Ini merupakan satu versi baru selepas Mufti Perak Tan Sri Harussani dilapor berkata kegagalan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu disebabkan bantahan keras daripada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Sebelum ini, PAS didakwa menggunakan bai'ah talak untuk menghalang wakil rakyatnya melompat parti. Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menafikan bai'ah tersebut.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang 28 daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Shaarani berkata demikian sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno di ibu negara petang ini.

Sementara itu, Shaarani mencadangkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memanggil "pemimpin yang memegang jawatan" yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya sebulan sebelum pembubaran parlimen.

Menurutnya lagi, mencari calon 'winnable candidate' yang dinyatakan oleh Najib "tidak susah" kerana ada ramai di antara mereka, tetapi  "yang susah nak berhenti mereka daripada memegang jawatan".

"(Datuk Seri Presiden) cakap kepada mereka secara terus terang, minta maaf, kamu tak layak. Parti memilih calon yang lebih baik untuk kemenangan dalam pilihan raya," katanya.

Katanya, langkah tersebut satu "perubahan besar" yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Menurut Shaarani lagi, apabila ahli Umno sanggup bai'ah dengan menyerahkan kepada pucuk pimpinan memilih calon, maka  semua ahli parlimen atau DUN kena akur apa jua keputusannya.

"Sebenarnya pada hari parlimen dan DUN dibubarkan, kita hilang jawatan, tempat tu kosong dan pulangkan kepada parti.

"Dan jangan ada sesiapa yang tidak terpilih semula (menjadi calon), berkata, konon ada orang rampas hak dia... Tidak!.

"Tempat itu kosong, pulangkan kepada kebijaksanaan parti untuk menentukan calonnya," tegasnya.

Sementara itu, Shaarani berkata Umno negeri itu mengenalpasti sebanyak 26,879 ahli Umno yang mengundi di negeri Perak tetapi aktif di negeri lain.

"Kita menjangka setiap negeri ada 20,000 pengundi luar, jadi di seluruh negara barangkali jumlahnya lebih kurang 200,000 orang.

"Kita perlu gerakkan mereka keluar mengundi kerana mereka wajib menangkan Umno dalam pilihan raya," katanya.

Sementara itu, perwakilan Kangar Marzita Mansor turut menyentuh isu pemilihan calon boleh menang dengan menasihatkan agar calon yang tidak terpilih agar tidak menjadi 'gunting dalam lipatan' dengan mensabotaj parti.

"Anda (juga) membawa amanah parti, jika tidak terpilih jadi calon, pengalaman mereka diperlukan," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda