Berita Malaysiakini

'Bersih' Felda: PERKASA ketuai 1,000 berdemo

Salhan K Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

GALERI FOTO

PERKASA hari ini menuntut supaya Felda menjalankan audit dalaman ke atas semua agensi di bawah lembaga berkenaan untuk membersihkan badan berkenaan daripada "gunting dalam lipatan".

NONE Antara pihak turut disifatkan sebagai "duri dalam daging" kepada Felda itu merupakan pengarah besar agensi kerajaan itu, Datuk Zulkifli Wahab.

Timbalan presiden PERKASA, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, tindakan sama juga perlu dijalankan ke atas pegawai berkenaan yang didapati "menghalang usaha transformasi Felda" oleh perdana menteri.

"Kami mengutuk golongan yang menjadi gunting dalam lipatan dan duri dalam daging, mempunyai agenda peribadi dan bersekongkol dengan pembangkang, menentang dalam senyap usaha murni ini.

"Kami menyokong penuh Datuk Zulkifli Abdul Wahab dihantar bercuti bagi menambah ilmu pengetahuannya.

"Kami yakin tindakan ini tepat pada masanya, sudah tentu tindakan ini telah difikir semasak-masaknya oleh perdana menteri," katanya yang membacakan satu memorandum.

NONE Ditanya selepas itu, Abdul Rahman menegaskan bahawa Zulkifli (foto kiri) merupakan individu yang dimaksudkannya sebagai gunting dalam lipatan itu.

"Kalau surat rahsia (arahan bercuti kepada Zulkifli) boleh tersebar kepada pembangkang, kalau dia tidak bocorkan siapa lagi yang bocorkan? Takkan surat datang daripada tempat lain?

"Dan bukan dia dipecat pun, cuma dia diberi bercuti belajar. Mungkin anggapan perdana menteri dia belum cukup pengetahuan untuk tadbir Felda," katanya.

Memorandum yang sebelum itu diserahkan kepada seorang kakitangan Felda, turut menyatakan sokongan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga pengerusi badan berkenaan, Tan Sri Isa Samad.

"Kita juga harap pengurusan Felda yang dipengerusi Tan Sri Isa buat audit dalaman forensik. Kita juga harapkan supaya semua agensi bawah Felda ini dibuat audit forensik," katanya lagi.

Memorandum itu turut menyatakan sokongan ke atas rancangan kerajaan untuk menyenaraikan salah satu anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings ke Bursa Malaysia – satu langkah yang didakwa telah ditentang oleh Zulkifli sehingga dikenakan tindakan berkenaan.

Selain itu, dokumen berkenaan juga mengutuk campurtangan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang didakwa telah "menghasut" golongan peneroka untuk "menolak usaha murni kerajaan."

Abdul Rahman sebelum itu mengetuai lebih 1,000 orang yang berarak sejauh 500 meter dari Anjung Felda di Jalan Perumahan Gurney dan kemudiannya berhimpun selama hampir sejam di hadapan bangunan Balai Felda di Jalan Maktab, Kuala Lumpur.

Selain melaungkan slogan "hidup Felda", "hancur anak" dan "hancur PAS," kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang dengan slogan "kami tolak anasir luar" dan juga "PAS penipu warga Felda."

Selain anggota PERKASA, turut menyertai perhimpunan itu ialah peserta Felda, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), anggota Umno dan juga satu NGO pro-Melayu yang berpengkalan di Seremban, Gabungan Memartabat Pemimpin Negara.

Turut berucap di perhimpunan itu ialah pengerusi MBFM, Anuar Abdul Manap, ketua pemuda Umno Selangor, Engku Salleh Engku Jamal.

Perhimpunan balas hari ini dianjurkan PERKASA sebagai reaksi kepada satu lagi perhimpunan yang dianjurkan ANAK pada hari Selasa.