Anak Nik Aziz selar Harakah, SU agung PAS

   

Timbalan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz hari ini menyelar lidah rasmi parti itu Harakah kerana menerbitkan kartun yang mengkritik bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa.

Bukan itu sahaja, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga menjadi mangsa kritikan atas kenyataannya terhadap Nasharudin dan bekas pesuruhajaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali sebelum ini.

muktamar pas youth 020611 nik abduh "Saya menolak kartun Drnots dalam Harakah cetak terbaru yang menghina kekanda saya, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa.

" Harakah mesti beretika, berakhlak dan tahu untuk membina dan mendamai, bukan memecah dan meruntuh," kata Nik Abduh ( kanan ).

Harakah edisi Isnin menerbitkan kartun karya Drnots yang digambarkan terjerat dengan pancing di depan bendera BN.

Seorang watak mirip Datuk Seri Najib Razak digambarkan memegang pancing itu sambil berkata dalam hati: "kena dahhh...."

Penerbitan kartun dalam ruangan "Malaysia Kini" itu dilihat sebahagian daripada ' perang ' menghadapi pemimpin itu yang sering dikaitkan dengan Umno sejak beberapa tahun lalu.

'Tungulah masuk Umno dulu'

Mustafa antara pemimpin tertinggi PAS paling lantang mengkiritik kedua-dua pemimpin itu melalui wawancara khas dengan Harakah dan edisi dalam taliannya Harakahdaily sebelum ini.

Pemimpin veteran itu antaranya dilaporkan berkata Nasharudin dan Hasan terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS atas tindakan yang seolah-olah mempersoal dasar Islam parti itu.

azlan Bercakap di laman Facebook beliau, Nik Abduh menolak "tuduhan" dan kenyataan Mustafa ketika kedua-dua pemimpin kontroversiti itu "berkali-kali menyatakan kesetiaannya kepada PAS".

"Tunggulah dulu dua (orang) itu masuk Umno jika betul-betul nak tunjuk hero menjaga PAS. Jika tidak, ia hanya tuduhan yang memecahkan (parti)," katanya yang juga anak kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Nik Aziz bagaimanapun sebelum ini enggan mengulas isu itu dan meminta media merujuknya Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman.

Nik Abduh juga mempersoalkan kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungib yang dilihat mula menghangatkan isu itu apabila dilapor berkata Dr Hasan tidak menerima pencalonan cukup daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

"Mengapa memperkecilkan kenyataan Saari Sungib yang memulakan isu yang dah sedia membara dalam sekam?

"Di mana beliau untuk tidak memohon maaf secara terbuka? Pemuda PAS menjunjung akhlak berjamaah yang tinggi," katanya lagi.

Malaysiakini
terkini untuk anda