BERITA Malaysiakini

PKR: Polis guna kekasaran melampau

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PKR hari ini menyatakan rasa kesal terhadap tindakan polis menangani perhimpunan di Tanjung Malim awal pagi tadi yang menyaksikan 17 orang ditahan dan seorang mahasiswa terlantar di hospital.

Parti itu menuntut pihak polis dan menteri dalam negeri membuat permohonan maaf, sekali gus memastikan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kecederaan itu dihadapkan ke muka pengadilan.

NONE Timbalan Presiden PKR Azmin Ali ( kanan )berkata, kejadian itu menjadi saksi bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak ada iltizam politik untuk melaksanakan transformasi yang diwar-warkannya.

"Transformasi yang diumumkan perdana menteri itu tidak lebih dari kosmetik politik bertujuan mengaburi rakyat dari kenyataan yang sebenar, bahawa pentadbiran beliau sebenarnya lemah serta tidak berdaya mengotakan janji yang dibuat," katanya.

Dakwanya, pihak berkuasa menggunakan "kekasaran melampau" walaupun kumpulan mahasiswa sekadar menyatakan bantahan terhadap Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).

Nurul Izzah: Titik hitam 2012

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad ( bawah ) pula mendakwa mahasiswa yang tercedera itu Muhammad Safwan Anang dipukul oleh lapan anggota polis menyebabkan "beliau mula-mulanya koma dan mengalami tulang pipi yang patah sebelum beliau akhirnya sedar diri."

nik nazmi "Tindakan polis pada hari ini jauh berbeza dengan tindakan mereka ketika perarakan mahasiswa ke PWTC yang berkesudahan dengan berkibarnya panji kebebasan akademik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan polis sebagai tidak demokratik, bersifat “negara polis” dan memalitkan titik hitam di awal sambutan tahun baru 2012.

Anggota parlimen Lembah Pantai itu berkata, ia memberikan mesej yang jelas kepada rakyat Malaysia tentang "kerakusan" kerajaan menggunakan polis untuk mengekang hak dan kebebasan bersuara yang termaktub dalam perlembagaan.

NONE Ini juga bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen Malaysia baru-baru ini.

"Saya tekankan bahawa Mahasiswa atau anak muda punyai hak menuntut kebebasan dan pemansuhan AUKU dan tindakan menangkap dan merempuh mahasiswa yang datang berhimpun di bawah Suara Mahasiswa tidak merupakan satu kesalahan," katanya.

Nurul Izzah juga percaya gerakan mahasiswa tidak akan lemah ekoran insiden awal pagi tadi untuk terusterus memperjuangkan perubahan untuk mereformasikan Universiti, kebebasan akademik serta pemansuhan AUKU.