Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KUIN 5: PAS didakwa tak serius pertahan siswa
Diterbitkan:  Jan 30, 2012 7:38 AM
Dikemaskini: 9:14 AM

Kumpulan mahasiswa hari ini mendakwa PAS masih tidak serius menangani isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) milik kerajaan Kedah menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab ( kiri ) berkata, reaksi terkini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai perkara itu juga menunjukkan bahawa beliau tidak dimaklumkan isu sebenar.

NONE "Namun mahasiswa tidak dapat melihat sebarang tindakan serius daripada pihak PAS, khususnya Dewan Pemuda PAS untuk menasihati MB Kedah dalam isu 'KUIN 5', selain beberapa pertemuan tertutup yang tidak menampakkan hasil.

"Malah MB Kedah sehingga ke hari ini masih berpendirian mempertahankan AUKU," kata Ahmad Syukri.

Haraka hdaily semalam melaporkan Abdul Hadi sebagai ingin melihat memorandum pelajar tetapi mendakwa masih belum menerimanya sehingga kini.

Beliau juga antaranya berkata, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak ( bawah ) tentu lebih tahu apa yang berlaku dan tindakannya tentu lebih tepat dan wajar dijadikan rujukan oleh pihak lain.

Pernah gantung 'pocong'

Situasi itu pula, tambahnya, perlu difahami, walaupun KUIN berada bawah Pakatan Rakyat, ia masih belum bebas sepenuhnya dari pengaruh Umno-BN.

Dalam kenyataannya balasnya hari ini, SMM mendakwa sebaliknya dengan berkata, mereka pernah menghantar memorandum itu pada Mei lepas, yang diterima naib ketua Pemuda PAS ketika itu Sabky Yusof, yang didakwa memaklumkan mewakili presiden.

azizan abdul razak pas and kedah Perkara itu juga, katanya, dilaporkan protal berita Malaysiakini pada hari yang sama.

"Kandungan memorandum mahasiswa itu antara lain memohon pertimbangan Tuan Guru Presiden untuk menasihati menteri besar Kedah agar tidak terus mengguna pakai AUKU sebagai undang undang di negeri Kedah.

"Memorandum itu dihantar sejurus selepas pihak pentadbiran KUIN mengeluarkan surat arahan tunjuk sebab sebelum perbicaraan dan hukuman dijatuhkan.

Malah, kata Ahmad Syukri, pada 18 Januari lalu juga mereka pernah menggantung replika pocong di depan pejabat agung PAS di Kuala Lumpur tanda tidak puas hati,

Justeru, SMM juga berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi supaya pemimpin nombor satu PAS itu mendapat maklumat secara terus dan mencari penyelesaian yang adil.

"Mahasiswa mengharapkan pertemuan ini nanti bakal membuahkan solusi yang bermanfaat untuk semua pihak sekali gus mengiktiraf perjuangan memansuhkan AUKU sebagai akta yang telah menzalimi mahasiswa selama 40 tahun," katanya.

ADS