Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PERKASA menyifatkan kenyataan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan atau menyaman Wall Street Journal (WSJ) berhubung isu keselamatan Israel mungkin "kenyataan sandiwara".

Presiden kumpulan pendesak Melayu itu, Datuk Ibrahim Ali ( bawah ) juga berpendapat kenyataan Mursyidul Am PAS itu sebagai percubaan untuk mengelirukan rakyat.

"PERKASA berpendapat kenyataan Nik Aziz ini mungkin satu kenyataan sandiwara, nak membersihkan diri PAS daripada bersekongkol dengan Anwar yang jelas berpegang teguh dengan sokongan politik Amerika.

NONE "PAS sedar, apabila Anwar dapat serangan bertubi-tubi dari dalam dan luar negara termasuk tokoh-tokoh Islam dan pemimpin negara Islam.

"Oleh kerana itu, Nik Aziz terpaksa mengambil sikap (itu) selepas (Presiden PAS) Haji Hadi Awang mengatakan sokongan kepada Israel adalah haram," kata Ibrahim.

Nik Aziz malam tadi mahu Anwar menarik balik kenyataannya yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan AWSJ baru-baru ini ataupun menyaman media itu jika laporan berkenaan tidak benar.

Menurut menteri besar Kelantan lagi, gesaan itu dibuat selepas dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Syura Ulama PAS yang juga selari dengan pendirian parti itu yang tidak mengiktiraf negara Israel.

'Tak nampak PAS akan buat apa-apa'

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya hari ini, Ibrahim berkata tindakan PAS mengeluarkan desakan tersebut dianggap "terlalu lewat" selepas mendakwa mungkin mendapati Anwar "tidak memberi keuntungan kepada PAS".

"Dia berasa rugi kalau dia tidak mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan berasingan dengan Anwar," katanya.

pakatan convention 191209 anwar nik aziz Selain itu, Ibrahim turut mempersoal Nik Aziz, mengapa tidak mendesak Anwar supaya menyaman individu seperti Ummi Hafilda, Ezam Mohd Noor, Datuk S Nalakaruppan yang didakwa membuat "macam-macam tuduhan" terhadapnya.

Katanya, PAS dan Nik Aziz tidak boleh memilih isu secara terpilih sedangkan mendakwa sebelum ini parti itu menuduh kerajaan BN, polis atau peguam negara membuat pendakwaan terpilih.

"Kenapa mereka tidak mendesak Anwar mengambil tindakan, sehingga ada gerakan mengumpul tandatangan, agar Anwar mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat bermacam-macam tuduhan," katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas menggesa supaya rakyat keliru dengan "sandiwara politik" tersebut.

Ditanya jika Anwar tidak menarik balik atau menyaman ASWJ, Ibrahim berkata beliau tidak nampak PAS akan berbuat apa-apa.

"Dia akan berdiam diri, dan dia akan tetap dengan Anwar. Cuma mesej yang hendak disampaikan, kami dah buat pendirian, ini pendirian PAS.

"Itu hal Anwar. Kita dah nyata dah pendirian kita. Soal-soal lain, itu kerjasama politik kita dengan Anwar," katanya.

ADS