BERITA

PM umum potongan 50% tol lebuh raya Cheras-Kajang

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Mac 2012, 1:37 tengahari

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemansuhan bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang, berkuatkuasa tengah malam ini.

Perdana Menteri berkata keputusan kerajaan itu akan mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan Lebuh Raya Cheras-Kajang sebanyak 50 peratus, atau pengurangan bayaran tol daripada RM3.80 kepada RM1.90 untuk dua hala.

"Ini adalah usaha dan perjuangan kerajaan Barisan Nasional sejak 2009 lagi dan hari ini kerajaan jadikan kenyataan," katanya pada majlis pecah tanah projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Bandar Sungai Long di sini.

NONE Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan RM4.5 juta untuk membiayai sebahagian kos pembinaan sekolah berkenaan.

Sekolah itu akan dibina di tanah seluas 2.4 hektar. Ia mempunyai 36 buah bilik darjah untuk kemudahan 1,500 murid di kawasan berkenaan.

Najib menjelaskan bukan mudah untuk memutuskan mengenai pembinaan sekolah tersebut memandangkan kesukaran mendapatkan tapak, disebabkan itu kerajaan bersetuju untuk membina SRJK (C) itu di tanah bernilai RM20 juta.

"Jika pembangkang bising bagilah tapak yang lain, kenapa tak bagi tapak lain sedangkan mereka ada kuasa untuk luluskan tapak lain, mereka tak bagi tapi mereka buat bising, kononnya mereka yang memperjuangkan kepentingan masyarakat di situ," katanya sambil diiringi tepukan gemuruh orang ramai yang hadir.

Beliau menegaskan soal pendidikan bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan dipolitikkan, hakikatnya mesti mencari jalan penyelesaian, yang mana hari ini terbukti kerajaan BN  mampu  membawa penyelesaian kepada masyarakat Cina di kawasan berkenaan.

"Jika ada kelemahan tertentu, kita bersedia mendengar suara rakyat, saya tidak takut dan saya kata kalau tidak betul InsyaAllah kita akan betulkan tetapi jangan ada pihak menidakkan jasa yang terbesar selama ini ialah jasa yang dibawa kerajaan BN," katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.