Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Selangor hari ini menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantap peranan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), terutama bagi menghadapi cakap-cakap berlakunya usaha memurtadkan umat Islam.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi, Pengarah JAIS Datuk Marzuki Husin, ADUN Meru Rani Osman serta pegawai daripada JAIS dan Pejabat Undang-undang negeri.

"Kerajaan negeri berpendapat jawatankuasa ini akan memberi penambahbaikan kepada JAIS dalam peranannya untuk mengangkat martabat agama Islam terutama (apabila) wujudnya 'cakap-cakap' wujudnya cubaan memurtadkan umat Islam melalui pendedahan video," katanya merujuk pendedahan bekas exco agama negeri Datuk Hasan Ali.

Jawatankuasa itu akan melaporkan terus kepada mesyuarat exco dan dijangka melengkapkan kajiannya dalam tempoh tiga minggu, kata Khalid.

Bagaimanapun, tambahnya, jawatankuasa itu tidak akan mengambilalih siasatan yang sudah dilaksanakan JAIS dan hanya memantau perkembangannya.

Hasan pada 2 April lalu menayangkan video yang memuatkan temubual dengan suami isteri yang mendakwa pernah dikristiankan oleh sekumpulan mubaligh Australia.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat exco di Shah Alam hari ini, Khalid juga berkata video yang ditayangkan Hasan kepada media "sangat lemah" dan tidak menyokong dakwaannya.

"Kerajaan negeri telah mendapatkan pandangan peguam syarie mengenai isu ini dan ternyata perbuatan yang dikatakan sebagai 'pendedahan' itu tidak cukup bukti untuk pendakwaan," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada JAIS akan memanggil Hasan memberikan keterangan bagi membantu siasatan, Khalid menjawab ringkas: "Kalau didapati perlu (panggil)."

ADS