BERITA

Najib tak mampu cari RM43b, dakwa Anwar

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Apr 2012, 4:59 pagi

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sekiranya tidak mampu menyedia kos RM43 bilion untuk hutang pelajar.

Anwar berkata hutang melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu boleh diselesaikan jika kerajaan mengelak daripada menanggung ketirisan perbelanjaan dan menolak perbuatan rasuah.

Berucap dalam satu ceramah sempena sambutan Jubli Perak PAS Shah Alam malam tadi, Anwar turut menempelak Najib kerana menimbulkan kos sebanyak RM43 bilion untuk langkah tersebut.

Anwar mempertikaikan kos berkenaan memandangkan kerajaan didakwa mampu menanggung kerugian seperti dalam isu pembelian saham MAS dan dalam projek National Feedlot Corporation.

"Hei Najib, RM43 bilion hang (kamu) tak reti (pandai) cari? Hang tak reti cari tak apa. Hang berhenti.

"Kalau tak berhenti, kami tolak hang jadi ketua pembangkang parlimen Malaysia selepas ini. (Sampai) tak tahu nak cari duit," sindir Anwar yang diiringi dengan tepukan hadirin.

Bekas menteri kewangan itu menegaskan bahawa Pakatan Rakyat akan menyelesaikan hutang PTPTN tersebut sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas ini.

Anwar mengulas kenyataan Najib semalam yang turut menjelaskan bahawa tindakan itu akan membebankan rakyat kerana kerajaan perlu mengenakan cukai yang tinggi sekiranya langkah itu dilaksanakan.

Keadaan itu boleh dilihat seperti di Norway yang menanggung pengajian tinggi rakyat negara itu sepenuhnya, kata Najib.

Najib juga berkata, kerajaan pada masa ini juga menanggung kira-kira 90 peratus daripada kos pengajian tinggi rakyat manakala PTPTN hanya digunakan untuk membayar yuran pengajian pelajar.

Keghairahan Anwar dan Najib dalam menjuarai isu hutang tersebut dilihat semakin memuncak ekoran rancangan sekumpulan pelajar untuk mengadakan perhimpunan anti-PTPTN pada 14 April.

Perhimpunan yang mensasarkan penyertaan 5,000 pelajar itu dirancang bagi menuntut kerajaan memansuhkan pinjaman tersebut dan menyediakan pendidikan percuma.

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia itu juga dirancang sebagai "pemanas badan" sebelum perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April di lokasi yang sama.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.