Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Himpunan Hijau yang akan berhimpun serentak dengan perhimpunan BERSIH pada 28 April berkata mereka tidak perlu memaklumkan rancangan mereka secara rasmi kepada polis kerana beranggapan menjadi sebahagian daripada "pakej BERSIH".

"Kita sebahagian daripada BERSIH 3.0. Kita sokong... Ini adalah pakej, bukan lain daripada BERSIH 3.0," katanya anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau Clement Chin ketika ditanya sama ada mereka sudah berhubung dengan polis.

Didesak pemberita sekali lagi, beliau berkata, pihaknya "akan tengok keadaan" pada hari tersebut, termasuk berkaitan soal keselamatan dan mobilisasi.

Sementara itu, ahli jawatankuasa BERSIH 3.0 Maria Chin juga berkata perhimpunan Hijau termasuk dalam rancangan gabungan itu.

"Kami tidak melihat (apa yang dilakukan) oleh Himpunan Hijau sebagai inisiatif yang terpisah.

"Semua rakyat Malaysia, bergerak ke Dataran Merdeka, untuk kebaikan menuntut pilihan raya bersih dan adil," katanya.

Maria berkata pihaknya telah memaklumkan kepada polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung rancangan mereka tetapi mendakwa belum menerima maklum balas setakat ini.

Sementara itu, Clement berkata pihaknya mensasarkan lebih 20,000 orang berhimpun di bangunan KLCC bagi membantah loji nadir bumi Lynas di Gebeng Kuantan pada 28 April ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan "satu acara" di hadapan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia - yang terletak berdekatan dengan KLCC - sebagai membantah kehadiran kilang tersebut.

"Kerajaan Australia masih lagi buat pekak tidak mengendahkan apa yang majoriti rakyat Kuantan (tolak) tentang kilang Lynas," katanya, ketika menyampaikan ceramah pengiraan detik 10 hari menjelang perhimpunan BERSIH 3.0 di Kelab Sultan Sulaiman di ibu negara malam tadi.

Mereka juga berkata, remai peserta Himpunan Hijau akan hadir secara berkeluarga dengan membawa anak dan saudara mara kerana ia berkaitan dengan isu alam sekitar dan kesihatan yang ditonjolkan.

ADS