BERITA

Naib pengerusi DAP bantah BERSIH di Dataran

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Apr 2012, 7:16 pagi

Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim hari ini mengeluarkan kenyataan tidak menyokong himpunan BERSIH 3.0 yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini.

"Kebanyakan himpunan akan bermula dengan aman dan berakhir dengan keganasan. Siapa yang akan bertanggungjawab tentang keselamatan mereka?

NONE "Saya menolak mana-mana pihak yang melakukan perkara menjurus kepada pelanggaran undang-undang," katanya.

Ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Tunku Abdul Aziz menegaskan, BERSIH 3.0 tidak wajar diadakan di Dataran Merdeka kerana ia mengajak rakyat melanggar undang-undang.

Menurut Tengku Aziz lagi, keselamatan peserta yang hadir pada himpunan itu juga tidak terjamin.

Tambahnya, penganjur perhimpunan seharusnya menerima pelawaan oleh pihak berkuasa untuk mengadakan himpunan tersebut di tempat yang lebih selamat.

"Sebenarnya mereka nak protes. Kenapa perlu lakukan di sana? (Dataran Merdeka) sedangkan DBKL sudah tidak membenarkan.

"Nanti akhirnya yang akan dipersalahkan ialah pihak berkuasa. Ini tidak adil.

"Mesti ada jalan lain tanpa melakukannya di jalanan... Ada saluran lain yang boleh digunakan seperti di Parlimen. Tetapi jangan melanggar undang-undang," tegasnya.

Sehubungan itu, Tunku Aziz berkata, walaupun beliau merupakan sebahagian daripada pimpinan Pakatan Rakyat, tetapi ia tidak menghalangnya untuk memberi pendapat peribadi.

Jelasnya, pendirian itu juga tiada kaitan dengan keputusan partinya.

"Walaupun kita daripada parti tetapi tidak bermakna kita perlu rasa bersalah dengan pendirian kita. Kadang kala kita sokong dan ada kalanya tidak," ujarnya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.