Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan luar kawalan pihak polis terhadap peserta perhimpunan BERSIH 3.0 adalah disebabkan 'rusuhan psikologi' yang dilakukan oleh pihak berkenaan.

Beliau turut mendakwa, secara umumnya, tindakan 'ganas' peserta perhimpunan BERSIH pada Sabtu lalu adalah tertumpu kepada pihak polis.

"Lihat pada perspektif yang sewajarnya. Umumnya, polis yang jadi mangsa kerana tindakan mengganas ini.

NONE "Masalah sekarang ialah 'rusuhan psikologi'. Polis pun di bawah tekanan. Rakan sekerja kena pukul, kereta dah kena terbalik. Kena pukul dengan kayu baseball. Ada yang rasa hampir nak mati. Ini bukan sahaja kerana awak (wartawan), tetapi pihak polis juga perlu tanggung. Mari kita menyiasat dulu," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai beberapa insiden kecederaan yang turut melibatkan pengamal media semasa membuat liputan himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Selain itu, Najib yang juga presiden Umno berkata, siasatan terhadap insiden Sabtu lalu juga akan dilakukan, malah beliau juga akan mendedahkan seberapa banyak bukti kepada rakyat untuk dinilai.

Ketika ditanya siapa yang perlu bertanggungjawab di atas segala insiden yang berlaku semasa himpunan itu, Najib berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan.

"Siasatan perlu dibuat. Tak boleh sesuka hati ambil tindakan. Dan kemudian peguam negara perlu buat keputusan berdasarkan fakta dan bukan daripada emosi atau cerita yang tersebar sebab sebahagiannya tidak betul.

"Kita tak ada sebab nak tutup (maklumat). Kita akan siarkan (video rakaman). Esok (hari ini) ketua polis negara akan buat sidang media. Akan maklumkan lebih lagi seperti rakaman oleh polis. Sebab, rakyat tuntut ketelusan. Jadi kita akan buat pendedahan sebanyak mungkin supaya apa yang berlaku dapat dinilai rakyat,'' katanya.

Dalam pada itu, Najib turut melahirkan rasa kesalnya kerana pihak penganjur BERSIH 3.0 tidak mengotakan janji mereka untuk mengadakan sebuah himpunan yang aman serta tidak menghormati keputusan mahkamah.

Menurut Najib, tindakan peserta himpunan Sabtu lalu juga mencalarkan nama negara.

"Pihak pengajur telah menjanjikan perhimpunan yang aman yang berlangsung pada waktu singkat. Tetapi apa yang telah dijanjikan tidak dapat ditunai.

"Saya juga kesal dengan tindakan kekasaran yang berlaku. Mereka (peserta BERSIH) telah merempuh pagar duri. Ini menunjukkan budaya keterlaluan," ujarnya.

Sementara itu Bernama melaporkan Najib berkata pihak polis akan memaparkan rakaman video mengenai apa sebenarnya

 berlaku semasa perhimpunan di ibu negara semalam.

   

Katanya, langkah itu bagi mengelak insiden itu daripada dieksploitasi oleh pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pendapat awam berhubung perhimpunan itu yang mana kebanyakannya dipaparkan melalui media sosial.

   

"Penting bagi polis untuk paparkan apa sebenarnya berlaku. Polis tidak akan tutup ada apa-apa termasuk jika ada salah laku yang dilakukan oleh anggota polis sendiri," katanya.

Beliau berkata seramai 130 anggota perubatan termasuk 30 doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah ditugaskan untuk memberi rawatan segera kepada yang terlibat dalam perhimpunan itu tanpa mengira fahaman politik.

Perdana menteri turut memaklumkan bahawa perhimpunan tersebut merupakan ujian pertama bagi anggota polis menterjemahkan tindakan mengikut undang-undang baru selepas kerajaan melaksakan transformasi politik termasuk pemansuhan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 selain memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman baru-baru ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kerajaan akan mewujudkan satu lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi memenuhi tuntutan perhimpunan kali ini, Najib berkata tiada sebab untuk mewujudkannya kerana semuanya telah dijawab semasa PSC membentangkan laporan mereka di Parlimen baru-baru ini.

ADS