Hukuman untuk orang Islam amal gaya 'celaru jantina' di Pahang

       

Golongan yang mengamalkan gaya kecelaruan jantina yang beragama Islam, akan berdepan tindakan tegas di negeri ini, apabila Dewan Undangan Negeri Pahang meluluskan Rang Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah (Pindaan) 2012.

Pindaan rang-rang undang itu dipersetujui sebulat suara selepas dibahaskan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Shafri Abdul Aziz.

Dalam perbahasannya, beliau mengupas permasalahan dalam masyarakat masa kini iaitu lelaki yang gemar menyerupai dan berkelakuan seperti perempuan dan perempuan yang berkelakuan seperti lelaki.

Mohd Shafri berkata itu sama sekali salah dan dilarang agama Islam.

Kesalahan itu, katanya, terkandung dalam peruntukan Bahagian IV rang undang-undang itu iaitu kesalahan berhubung dengan kesusilaan.

"Bagi kedua-dua kesalahan iaitu mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak perempuan di tempat awam atas tujuan yang tidak berakhlak dan perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak seperti lelaki di tempat dan tujuan sama, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," katanya.

Selain itu, katanya, pindaan berkenaan dilakukan bagi menjelaskan kesamaran pada seksyen-seksyen tertentu undang-undang itu supaya lebih jelas serta mengikut keperluan semasa terhadap penguatkuasaan.

Perbahasan rang-rang undang itu disokong Shukri Ahmad Ismail (BN-Pulau Tawar) dan disahkan oleh Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin.

Terdahulu, Chong Siew Onn (DAP-Tras), meminta pengecualian daripada membuat keputusan kerana ia membabitkan umat dan agama Islam manakala Tuan Syed Mohamed Syed Lonnik (PAS-Beserah) meminta penambahbaikan pada persiapan persediaan untuk memastikan pindaan itu lancar.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda