BN Sabah latih propaganda pada 'tentera siber'

   

Pergerakan pemuda BN Sabah akan mengadakan bengkel 'Cyber Troopers' bagi memantapkan persediaan menghadapi pilihan raya umum di 1Borneo, Likas dekat Kota Kinabalu selama tiga hari bermula 25 Mei ini.

Ketua Penerangan Pemuda BN Sabah Sh Sahar Sh Anding berkata bengkel yang akan disertai 85 anggota Pemuda BN termasuk Pemuda Umno seluruh Sabah itu merupakan anjuran unit media baru pergerakan pemuda Umno Sabah.

Beliau yang mengetuai unit berkenaan berkata bengkel berkenaan akan dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Penyelaras BN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak pada 25 Mei manakala majlis penutupan akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada 27 Mei ini.

Menurut Sahar, program tersebut antara lain bertujuan memberi pendedahan serta penerangan tentang tugas menyelaras dan mengemas kini unit gerak saraf media baru BN termasuk penggerak secara individu atau kumpulan supaya berjalan dalam arah dan matlamat yang sama.

Selain meningkatkan kemahiran penggunaan aplikasi media baru seperti Facebook, blog, Twitter, Youtube serta teknik-teknik propaganda, mereka juga didedahkan dengan kefahaman tentang ruang dan batas operasi serta kaedah sesuai dengan peraturan dan undang-undang berkaitan sedia ada, kata Sahar dalam kenyataan di Kota Kinabalu Rabu.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda