Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

WAWANCARA Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah cuba campur tangan dalam siasatan kes Liwat 1.

Musa mendakwa Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa itu mengarahkannya beliau supaya melapor hasil siasatan kepadanya walaupun Anwar merupakan tertuduh dalam kes itu.

NONE "(Anwar) minta saya lapor kepada dia tiap-tiap malam. Saya kata tak boleh (sebab) saya profesional. Kalau saya lapor pun kepada Ketua Polis Negara," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakin i.

Musa mendakwa beliau turut didatangi adiknya, Datuk Fuad Hassan yang menurutnya dihantar Anwar untuk memintanya "membantu" Anwar dalam kes itu.

"Saya kata tak boleh sebab saya pegawai polis. 'Kalau you (Fuad) terlibat campur tangan saya tangkap you walau pun you adik saya.' Saya profesional," katanya.

Fuad pada masa itu adalah ADUN Hulu Klang dan kini merupakan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas (JASA).

Musa berkata perdana menteri pada masa itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad memberinya amaran agar menyiasat kes itu dengan telus.

"Dia panggil saya tanya 'betul ke kamu siasat?' Dia kata 'you siasat betul-betul. Kalau you mengadakan keterangan palsu you masuk jail'," katanya.

Tukar tarikh kejadian

Mengulas lanjut mengenai perjalanan perbicaraan kes itu, Musa berkata Peguam Negara bertanggungjawab ke atas keputusan meminda tarikh kejadian yang didakwa berlaku dalam pertuduhan tersebut sehingga tiga kali.

ex-igp musa hassan interview with malaysiakini 2 Namun, beliau menegaskan bahawa siasatan yang dijalankannya pada masa itu sudahpun lengkap untuk membolehkan Anwar didakwa di mahkamah.

"(Tarikh berubah-ubah) itu dakwaan punya side-lah (perlu jawab). Saya tak boleh nak jawab. Siasatan sudah lengkap tapi boleh jadi tarikh (berubah-ubah) kerana kejadian dah lama.

"Bila benda dah lama orang tak ingat tarikh," katanya yang tetap percaya bahawa Anwar bersalah atas tuduhan liwat dan salahguna kuasa kerana terdapat bukti mencukupi pada masa itu.

Peguam Negara pada masa itu adalah Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah sementara Peguam Negara sekarang, Tan Sri Gani Patail mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes tersebut.

Individu yang mendakwa diliwat Anwar dalam kes berkenaan, Azizan Abu Bakar mendakwa kejadian tersebut berlaku di Tivoli Villa, Bangsar.

Namun, ketika tarikh kejadian yang didakwanya itu, kondominium berkenaan masih belum disiapkan.

Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar dari pertuduhan itu dengan keputusan majoriti pada tahun 2004.

Ambil spesimen darah

Musa turut mengaku bahawa polis mengambil sampel darah Anwar selepas insiden 'mata lebam' – kerana ditumbuk ketua polis negara pada waktu itu, Tan Sri Rahim Noor.

Sampel darah itu digunakannya untuk siasatan dalam kes Liwat 1.

anwar ibrahim black eye small 080206 "Darah itu saya ambil kerana masa dia ditangkap (isteri Anwar) Datin Wan Azizah kata polis nak suntik dia dengan darah AIDS. Apabila dia cakap begitu saya kena buat report.

"Kalau betul dia ada AIDS, saya takut polis yang kena tohmah," kata Musa yang mempertahankan bahawa tindakannya itu dibuat mengikut menurut undang-undang dan prosedur.

"Saya pernah gunakan untuk ujian DNA untuk tilam. Saya kena siasat menyeluruh sebab tuduhannya menyeluruh," katanya.

Mahkamah menolak bukti DNA pada tilam tersebut.

Ditanya mengenai siasatan dalam kes mata lebam Anwar, Musa berkata pegawai penyiasat untuk kes tersebut ialah mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Mat Zain Ibrahim.

Mat Zain dalam beberapa siri surat terbukanya akhir-akhir ini giat menimbulkan dakwaan bahawa Musa dan Abdul Gani terlibat menyalahguna kuasa dan memalsukan bukti dalam insiden mata lebam.

Seorang saksi dalam kes tersebut, Dr Abdul Rahman Yusof – yang mengesahkan bahawa mata lebam Anwar mungkin berpunca akibat dipukul diri sendiri – dilantik oleh peguam negara pada masa itu, kata Musa lagi.

Tambahnya, mustahil untuk beliau memalsukan bukti kerana terdapat ramai pegawai polis dalam lokap pada malam kejadian didakwa berlaku.

"Bukan Rahim Noor seorang. Ramli Yusuff (bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil) pun ada di situ di dalam lokap itu," katanya.

Perbicaraan melibatkan dakwaan pemalsuan bukti dalam kes itu akan berlangsung pada Oktober.

VIDEO | 7.41 min

Siaran terdahulu

Bahagian 1: Bekas IGP: Ada orang politik marah 'rezeki' disekat

Bahagian 2: 'Tuduhan berkaitan kongsi gelap untuk burukkan saya'


Wawancara dijalankan Fathi Aris Omar, Hafiz Yatim, Ahmad Fadli KC dan Nigel Aw.

ADS