Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja Nong Chik: Tiada konflik kepentingan dalam 'projek RM30j'

Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjelaskan tiada konflik kepentingan dalam isu kontrak kerajaan yang diperolehi satu syarikat didakwa milik anak perempuannya.

Tanpa mengesahkan atau menafikan kontrak didakwa bernilai RM30 juta itu, Raja Nong Chik berkata projek itu berlangsung pada 2006 lagi - sewaktu beliau masih belum menjadi menteri.

"Saya tak payahlah (cakap tentang perkara itu). Pasal semua projek itu (berlaku) pada 2006. Masa itu, saya ahli perniagaan selama 25 tahun. Takkan tak boleh berniaga pada waktu itu?

"Hanya kontrak itu dimeterai pada 2010, pasal bangunan siap pada waktu itu. Itu sahaja. Kalau tidak, tutup semua perniagaan yang keluarga saya berniaga. Saya rasa tak sesuai kan? Tetapi tidak ada konflik kepentingan," katanya.  

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan di beberapa kawasan sekitar Brickfields petang semalam.

Raja Nong Chik mengulas dakwaan yang ditimbulkan pembangkang bahawa syarikat Istijuara Sdn Bhd, didakwa milik anak perempuannya, menerima kontrak daripada Kementerian Belia dan Sukan berjumlah RM30 juta.

Dakwaan tersebut ditimbulkan oleh laman Keadilandaily.com yang melaporkan mengenai projek "melengkap, memasang dan atau menguji kelengkapan latihan industri" itu.

Laman tersebut melaporkan perkara itu berdasarkan satu surat penerimaan tender bertarikh 24 Ogos 2010 untuk projek di di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bandar Penawar, Johor itu.

Sementara itu, satu sumber daripada pejabat menteri tersebut menjelaskan bahawa syarikat Istijuara mendapat tender projek itu pada tahun 2006, dan Raja Nong Chik mengambil alih syarikat berkenaan pada 2007 - sebelum beliau menjadi menteri.

"Tawaran tandatangan tender itu pada tahun 2010, selepas bangunan itu siap," kata sumber yang diturut hadir dalam sidang media itu.

ADS