Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pertubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengambil sikap 'tunggu dan lihat' dalam isu semakan semula terhadap pengharaman buku Hadis: Satu Penilaian Semula tulisan sarjana kontroversi Dr Kassim Ahmad.

NONE "Bagi saya, serahkan pada pihak berkuasa. Jika ada perubahan, saya harap akan dibuat dengan teliti," kata presidennya Amidi Abdul Manan (kiri) .

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu kerana belum membaca buku kontrtoversi yang didakwa 'anti-hadis' itu.

Malaysiakini semalam melaporkan arahan semakan semula itu dibuat melalui surat daripada pejabat ketua setiausaha KDN bertarikh 20 Jun, yang salinannya turut diposkan ke rumah Dr Kassim di Kulim.

Dr Kassim tiga bulan lalu menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menuntut pengharamannya ditarik balik.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Amidi bagaimanapun secara umumnya berkata, Dr Kassim bukan orang yang sesuai untuk bercakap mengenai hadis.

'Dia bukan boleh tafsir hadis'

Menurut Amidi, seseorang yang layak perlulah pandai berbahasa Arab dan mengetahui selok-belok mengenai agama.

NONE "Dia (Dr Kassim) pakar antropologi dan sosiologi. Dia bukan orang yang boleh mentafsir hadis, yang faham bahasa Arab dengan baik.

"Sebab setahu saya, kebanyakan buku-buku yang jadi rujukannya pun berbahasa Inggeris," kata Amidi lagi.

Abim antara NGO Islam yang paling lantang menentang buku tersebut ketika ia diterbitkan 26 tahun lalu. Pemimpin kanannya juga terlibat mengadakan dialog dengan Dr Kassim pada tahun 1986.

KDN kemudian mengharamkan Hadis: Satu Penilaian Semula seiring dengan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa ia mengandungi fahaman bertentangan dengan akidah. Dr Kassim menafikan anti-hadis, sebaliknya hanya kritikal terhadap hadis - sumber Islam kedua selepas al-Quran.

Hadis: Satu Penilaian Semula memaparkan cubaan Dr Kassim membedah hadis secara kritikal, antaranya menolak pemahaman tradisi ahli hadis, mengkritik 'kelemahan' umum, kelemahan kritikan sanad serta mengetengahkan 'kontradiksinya' dengan Quran, sains dan sejarah.

Buku mengumpulkan lima siri ceramah berkaitan di Jabatan antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mencetuskan pelbagai reaksi pada awalnya, merancakkan perdebatan media dan dijawab oleh enam buah buku lain.

ADS