Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keadaan di Kuin kritikal, dakwa Mahdzir Khalid
Diterbitkan:  Jul 10, 2012 11:08 AM
Dikemaskini: 6:03 AM

Kemelut yang melanda Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sehingga warga kerjanya membuat laporan polis menunjukkan masalah itu semakin kritikal dan bukan perkara kecil, dakwa Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, apa yang berlaku di Kuin menunjukkan kolej universiti itu berada dalam keadaan kritikal walaupun Pengerusinya Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga menteri besar mengatakan ia perkara kecil dan tidak perlu campur tangan pihak luar iaitu Kementerian Pengajian Tinggi.

mahdzir khalid "Kalau dah pensyarah dan kakitangan buat demonstrasi, ini bukan perkara main-main...ia adalah perkara serius yang perlu diambil tindakan segera.

"Ini menunjukkan mereka ada masalah dari segi pengurusan universiti. Itu bukan perkara yang kecil dan ia perlu dipandang serius," katanya kepada pemberita di Kuala Nerang.

Mahdzir berkata beliau bimbang jika masalah itu berterusan ia akan memberi persepsi negatif kepada orang luar dan tidak mustahil suatu hari nanti tidak ramai pelajar yang akan melanjutkan pengajian di kolej universiti milik kerajaan negeri Kedah itu.

"Bila dan jadi masalah ini, ia akan menjejaskan perjalanan universiti. Kalau pelajar makin kurang, macam mana pihak pengurusan hendak membayar pinjaman daripada bank yang dibuat untuk membina kampus tetap universiti itu," katanya.

NONE Mahdzir berkata sepatutnya pihak pengurusan Kuin perlu 'mengukur baju di badan sendiri' sebelum memutuskan untuk menambah bilangan fakulti.

"Macam mana mereka boleh nak buka banyak fakulti sedangkan 'badannya' kecil sahaja. Kalau kita balik kepada asal penubuhan Kuin (fokus kepada pengajian agama), ia tak akan jadi macam ini. Ni semua mereka nak buat. Jadi kerajaan negeri perlu tanggung la.

"Banyak syarikat dah saman... report polis pun dah banyak dibuat... duit pada pensyarah tak bayar... tuntutan hutang tak bayar.. saya tak desak apa-apa sebab ia dah 'loghat dah' (sangat teruk)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berkata tindakan kerajaan negeri membuat ladang rakyat dengan menebang hutan balak adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan.

"Di sini, di Kampung Charuk Batang Padi yang terletak bersebelahan Tasik Pedu pun mereka nak buat ladang rakyat," katanya.

Beliau berkata kawasan itu adalah kawasan tadahan air dan jika kerajaan negeri meneruskan juga projek itu, ia akan memberi implikasi kepada alam sekitar dan penduduk di kawasan itu.

-Bernama

ADS