Malaysiakini BERITA

KDN siasat kartun 'Awang Arang' 1Malaysia

Ahmad Fadli KC  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan siasatan terhadap penerbitan komik 1Malaysia yang memuatkan kartun berkaitan "Awang Arang" yang didakwa boleh mewujudkan ketegangan kaum oleh NGO dan kumpulan hak asasi.

Dalam langkah itu, akhbar The Malay Mail yang menghasilkan laporan berkaitan diminta hadir ke ibu pejabat KDN di Putrajaya bagi menyerahkan komik M1Malaysia - Majalah untuk Rakyat dalam simpaman mereka.

Menurut sumber harian itu, wartawan yang menulis berita itu diminta menyerahkan komik itu, yang merupakan edisi ketiga bersama edisi keempat yang ditemui dalam himpunan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) di Bukit Jalil pada 25 Jun.

"Mereka (KDN) minta agar kami tidak menyentuh isu perkauman selepas ini," kata sumber itu lagi kepada Malaysiakini semalam.

Komik dengan logo 1Malaysia itu mempunyai satu bahagian bertajuk "1Malaysia vs 1PATI" yang memaparkan kanak-kanak lelaki menghargai kemajmukan masyarakat negara ini.

Namun dia digambarkan kemudiannya lari daripada sekumpulan lelaki asing berkulit gelap yang dilabelkan sebagai "Awang Arang".

Kumpulan hak asasi Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) sebelum ini dilapor mempersoalkan pengedaran komik itu dalam acara awam dan menggesa kerajaan memohon maaf kerana ia didakwa memalukan kerana membezakan warna kulit.

Manakala NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pula berkata, penerbitan sebegitu boleh menyebabkan ketegangan kaum dan berbahaya, terutamanya jika dibaca oleh pelajar sekolah.

The Malay Mail pada 13 Julai melaporkan, penerbitnya Blue Pipe Studio Enterprise tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksinya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Abd Aziz Md Nor pula sebelum ini dilaporkan berkata, penerbitan itu di luar pengetahuan mereka.

Bagaimanapun, kata Abd Aziz, mereka akan mendapatkan penjelasan penerbit dan mengharamkannya jika perlu.

Malaysiakini sudah menghubungi bahagian itu bagi mendapatkan komen sekali lagi pada hari ini tetapi belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan setakat ini.