BERITA

Lajim Ukin temui Nik Aziz

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Jul 2012, 10:34 pagi

Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin hari ini mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Harakahdaily , timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu mengunjungi pejabat menteri besar Kelantan itu pagi tadi.

Pertemuan di Kota Bharu itu menarik perhatian memandangkan Lajim telah meletak jawatan sebagai ketua cawangan Umno.

Lajim pada Jun lalu meletak jawatan sebagai ketua Umno cawangan Kerambai Kebatu selepas beliau menyatakan hasratnya untuk tidak lagi mempertahankan jawatan sebagai ketua Umno bahagian Beaufort. 

Lidah parti PAS itu melaporkan Lajim bersama 25 orang lagi anggota rombongannya meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk bertemu Nik Abdul Aziz.

Lajim dalam pertemuan itu dilaporkan telah mengemukakan cadangan untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal.

Laporan itu memetik Nik Abdul Aziz sebagai berkata, cadangan bagi kerjasama itu akan dibincangkan di peringkat kerajaan.

“Saya tidak boleh membuat keputusan sekarang walaupun pertemuan telah dibuat dengan anggota exco kerajaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan,” katanya seperti dipetik laman tersebut.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.