Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP: Kaji sebelum pinda akta untuk kes rogol statutori

Exco kanan kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok berkata, kajian perlu dilakukan sebelum meminda akta bagi tidak membenarkan hakim menggunakan budi bicara mereka untuk mengurangkan hukuman terhadap pesalah kes rogol bawah umur.

Teresa menjelaskan, individu atau organisasi berkaitan perlu dirunding bagi memastikan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah setimpal.

"Saya nak berkongsi tentang keprihatinan ramai wanita dalam kes pemain bowling dan juruelektrik yang dibebaskan dengan jaminan oleh hakim hanya kerana berkelakuan baik.

"Tapi saya juga tidak mahu melihat (perbahasan isu itu) kembali kepada hukuman penjara lima tahun," katanya pada sidang media di konvensyen DAP Wilayah Persekutuan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang berkata, kerajaan akan mengemukakan usul pada sidang Parlimen akan datang bagi meminda undang-undang supaya Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah tidak terpakai dalam kes jenayah seksual membabitkan mangsa bawah umur 16 tahun.

   

Nazri berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Peguam Negara dan dijangka pindaan akan dibuat pada sesi Parlimen akan datang.

Mengulas perkara itu, Teresa berkata, pindaan tersebut tidak perlu dilakukan secara terburu-buru.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan perlu memanggil dan mengambil semua cadangan yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya cadangkan supaya kerajaan tidak perlu terlalu terburu-buru dengan pindaan ini. Mereka perlu memanggil semua kumpulan yang berkaitan bagi membincangkan tentang perkara ini.

"Mereka seharusnya lebih terperinci mengenai (hukuman) ini," katanya lagi.

Para aktivis sebelum ini menuntut supaya kerajaan mengkaji semula undang-undang selepas mahkamah pada Ogos lalu membebaskan dua lelaki yang dijatuhi hukuman kerana didapati bersalah mengadakan hubungan seks dengan wanita bawah umur.

Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 28 Ogos lalu yang membebaskan seorang juruelektrik dengan ikat jamin RM25,000 dan bon jaminan berkelakuan baik atas tuduhan merogol seorgan gadis bawah umur.

   

Dalam kes kedua Mahkamah Sesyen Melaka membebaskan seorang pemain bowling dengan perintah berkelakuan baik selepas didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh Melaka pada 2009.

ADS