BERITA

Nazri kata sumbangan RM40j 'tiada masalah'

Hazlan Zakaria

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Okt 2012, 7:37 pagi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tiada masalah bagi Umno Sabah untuk menerima "sumbangan" berjumlah RM40 juta daripada seorang individu.

"Tiada masalah dengan sumbangan. Ia bukan kesalahan.

"Kalau nak jadikan kesalahan kita kena buat undang-undang," katanya ketika menjawab satu soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri itu memberi alasan, tiada kesalahan dengan transaksi seperti itu memandangkan tiada undang-undang untuk menghalang sumbangkan kepada parti politik.

Maka, sesiapa saja boleh menyumbang sebanyak mana yang mereka mahu, katanya lagi.

Jutawan balak Sabah Michael Chia pada 2008 ditahan di Hong Kong dengan matawang Singapura berjumlah RM40 juta di dalam bagasinya, sebelum lelaki itu berjaya berlepas dengan pesawat ke Malaysia.

Chia ditahan dan didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram.

Chia memberitahu penyiasat rasuah Hong Kong ICAC bahawa wang tersebut adalah untuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu berkata wang RM40juta yang cuba diseludup ke Malaysia untuk Umno Sabah adalah "sumbangan politik" (political donation) untuk Umno.

Bagaimanapun, presiden Umno itu enggan mendedahkan pihak yang menyumbang wang tersebut kepada Umno apabila ditanya pemberita.

Nazri dalam jawapannya di Dewan Rakyat, sehari sebelumnya berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan wang itu merupakan sumbangan kepada Umno Sabah dan bukannya kepada Musa.

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.