Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ekonomis digantung tugas pertahan analisisnya
Diterbitkan:  Jan 19, 2013 9:42 PM
Dikemaskini: 2:13 PM

Ketua ekonomis Bank Islam yang telah digantung tugasnya kerana meramalkan kemenangan tipis Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang, mempertahankan analisisnya dan berkata ia dibuat secara profesional.

Dalam satu kenyataan hari ini,  Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, beliau membuat analisis tersebut secara profesional, jujur dan saksama, selaras dengan amalan terbaik dalam industri selepas mengambil kira faktor-faktor yang patut dimasukkan dalam analisis seumpama itu.

azlan Azrul kesal kerana dituduh oleh beberapa blogger dan ahli

politik bahawa pembentangannya di forum prospek serantau di Singapura pada 10 Januari lalu sebagai "tidak profesional, berat sebelah dan partisan" kerana dia seorang ahli PKR.

Sebaliknya, tegas Azrul, beliau telah memberi pendapat yang jujur dan profesional di forum tersebut dan percaya tidak ada sebab untuk tindakan disiplin diambil terhadapnya.

Beliau menganggapnya sebagai satu tragedi bagi demokrasi Malaysia apabila pendapat yang tidak memihak kepada parti pemerintah menjadi punca yang cukup untuk mengambil tindakan tatatertib dan menjadi lesen untuk merosakkan nama baik orang lain oleh pihak-pihak tertentu.

Menurut Azrul, pembentangannya di forum Singapura itu adalah mengenai prospek ekonomi Malaysia 2013 dan oleh itu ia adalah perlu untuk mengambil kira semua faktor-faktor yang relevan yang mungkin mempunyai kaitan dengan keadaan ekonomi tahun ini dan seterusnya.

"Adalah mustahil untuk menafikan bahawa keputusan pilihan raya umum ke-13 akan mempunyai impak yang kritikal terhadap ekonomi Malaysia. Saya telah membuat analisis saya berdasarkan maklumat awam yang sedia ada dan mengutarakan andaian saya untuk tiga senario."

Tiga senario untuk BN:

1) Senario dengan kebarangkalian yang tinggi:

  • Kekalahan tipis untuk BN, hanya mendapat 97-107 kerusi parlimen (kemenangan tipis untuk Pakatan: 115-125).
  • Kegagalan untuk menawan semula Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
  • Hilang penguasaan di Perak, Negri Sembilan, Terengganu dan Perlis.
  • Menang tipis untuk mengekalkan Pahang dan Johor.
  • Kalah besar di Melaka, Sabah dan Sarawak

2) Senario dengan kebarangkalian sederhana :

  • Menang tipis untuk BN, dengan mendapat 112-122 kerusi parlimen (kekalahan tipis untuk Pakatan: 100-110).
  • Gagal untuk menawan semula Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

 

  • Hilang penguasaan di Perak dan Negeri Sembilan.

3) Senario dengan kebarangkalian yang rendah :

  • Kalah teruk untuk BN, mendapatkan hanya 82-92 kerusi parlimen (kemenangan besar bagi PR: 130-140).
  • Kegagalan untuk menawan semula Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
  • Hilang pengusaan di Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis dan Pahang.
  • Menang tipis untuk mengekalkan Johor dan Melaka.
  • Kalah teruk di Sabah dan Sarawak.

Azrul memberi amaran bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang cuba untuk mencemarkan reputasinya dan membuat kenyataan fitnah mengenai "integriti dan kredibiliti" beliau dalam prestasi kerjayanya.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap mereka untuk melindungi dan mempertahankan reputasi saya. Saya yakin bahawa kebenaran dan keadilan akan terserlah."

[Baca berita penuh]

ADS