Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu kajian oleh sekumpulan ahli akademik menyebut, siswa di dua buah universiti terkemuka negara memilih portal berita Malaysiakini sebagai sumber maklumat politik yang paling dipercayai berbanding media lain.

Kajian oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES) itu juga menunjukkan Malaysiakini merupakan portal berita dan paling kerap dilayari mahasiswa Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

NONE Kajian berkenaan membanding kewibawaan Malaysiakini berbanding laman web politik dan blog lain di kalangan pembaca berkenaan.

Seramai 66.4 peratus dari kalangan 1,009 siswa di UM berpendapat demikian berbanding laman berita lain – The Malaysian Insider (30.6 peratus) dan laman milik Umno, Utusan Online (23.6 peratus).

Malaysiakini juga merupakan laman berita paling popular di kalangan siswa berkenaan (71.1 peratus) berbanding Utusan Online (24 peratus), The Malaysian Insider (21.2 peratus) dan laman berita milik MCA, MStar (19.7 peratus).

Trend sama juga dilihat di UKM – seramai 39.4 peratus daripada 1,006 siswa yang dikaji memilih Malaysiakini sebagai sumber maklumat politik yang paling dipercayai berbanding laman lain.

Utusan Online juga menjadi sumber kedua yang paling dipercayai di kalangan siswa UKM (31.5%), diikuti Mstar (19.4%) dan lidah parti PAS Harakahdaily (15 peratus).

 

azlan Dari sudut populariti, lebih 50 peratus siswa berkenaan didapati sering melayari Malaysiakini , diikuti Utusan Online (hampir 40%), disusuli Harakahdaily dan Mstar (hampir 30%).

 

Selain laman berkenaan, mahasiswa di kedua-dua universiti menjadikan laman sosial Facebook dan Youtube sebagai media untuk mengakses maklumat politik.

"Berdasarkan kedudukan keutamaan, jenis media yang amat mempengaruhi pandangan politik responden adalah seperti berikut - Facebook, laman web, blog, akhbar bercetak, radio, TV dan Twitter.

"Bagi tujuan penggunaan internet/laman sosial, majoriti mahasiswa melayari media alternatif tersebut untuk mencari dan menyampaikan maklumat, memuat turun muzik dan filem dan untuk berhibur," kertas kajian dipetik. 

Ia turut menyatakan, mahasiswa UM dan UKM itu mengakses internet dan media sosial selama 11 hingga 12 jam sehari.

Kajian di UM dijalankan oleh pensyarah di fakulti ekonomi dan perniagaan kampus tersebut Muhammad Asli Mohd Ali manakala di UKM pula oleh pensyarah fakulti sains sosial dan kemanusiaan Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali.

ADS